Hun Haqeem Puji Peribadi Allahyarham Syazlin Zainal; “Dia Selalu Senyum, Fokus Pada Kerja”
Pemergian Allayarhamah Syazlin Zainal semalam ternyata mengejutkan ramai pihak termasuk ahli keluarga dan beberapa rakan selebriti termasuklah pelakon Hun Haqeem.
Menerusi satu hantaran di IG Stories, Hun, 22, menyifatkan Syazlin sebagai seorang yang tidak lokek dengan senyuman setiap kali mereka berada di set lokasi penggambaran.
“Dia selalu senyum sahaja ketika di set penggambaran, sangat fokus pada kerja, selalu mahu berikan yang terbaik setiap hari dalam lakonannya.
“Berita pemergiannya amat mengejutkan, semoga tenang di sana, doa saya sentiasa mengiringi awak,” kongsi Hun.
Selain Hun, seorang lagi aktres yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham menerusi sebuah drama, Sharifah Shahora turut menitipkan doa buat Syazlin.
“Dia sopan, baik dan sangat berbakat. Dapat mesej daripada dua adik saya mengenai Syazlin sudah tiada, amat mengejutkan.
“Walaupun jarang jumpa tapi kami sering bertegur di Instagram. Al Fatihah buat Syazlin, semoga ditempatkan bersama orang yang beriman,” ujarnya.
Shahora berkongsi perkara itu menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya.
Menjengah ke ruangan balas, ramai rakan selebriti lain yang turut menitipkan doa dan ucapan takziah kepada Allahyarhamah, antaranya Dynas Mokhtar, Lizza Abdullah dan Maria Tunku Sabri.