Berita
Ianya Bukan Undang-Undang Bertulis, Tetapi Ada Sebab-Sebab Tertentu Kenapa Media Mengaburkan Gambar
Keinginan untuk mengetahui tentang sesuatu perkara adalah biasa pada setiap orang. Apatah lagi jika ianya berkaitan dengan isu jenayah, perlakuan sumbang serta gosip hiburan.
Namun keinginan itu adakalanya terganggu apabila pihak media bertindak mengaburkan gambar atau tidak mendedahkan nama sebenar suspek yang didakwa melakukan sesuatu kesalahan.
Pastinya ia menimbulkan rasa tidak senang hati masyarakat, lantas pelbagai dakwaan yang tidak enak dihamburkan kepada pihak media tersebut.
Dalam perkara ini, masyarakat seharusnya cuba memahami apa itu etika kewartawanan. Etika merupakan prinsip moral atau nilai-nilai akhlak.
Ia bukan undang-undang bertulis namun amalan yang perlu dilakukan bagi memastikan para wartawan kekal bertanggungjawab dan profesional dalam tugasan.
Menurut Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, terdapat beberapa perkara yang perlu ditutup oleh media.
Antaranya, gambar suspek kes jenayah yang belum dituduh di mahkamah, orang kena tuduh (OKT) bagi kes berkaitan salah laku seksual membabitkan ahli keluarga, kanak-kanak, pesalah juvana dan keluarga pesalah.
"Kena ingat asas kewartawanan adalah seseorang yang dituduh atau didakwa bersalah masih belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.
Bagi pesalah juvana, kanak-kanak dan keluarga pesalah pula, tindakan menutup gambar adalah bagi melindungi identiti mereka untuk memastikan tidak timbul kesan jangka panjang pada masa hadapan.
"Masyarakat akan menjatuhkan hukum terhadap kanak-kanak serta keluarga pesalah terbabit dan kesan jangka panjangnya apabila kanak-kanak itu semakin membesar. Sudah tentu ia akan memberi kesan psikologi,” jelas Ahmad Faisal.
Pada masa yang sama, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mempertikaikan tindakan-tindakan organisasi media.
Hal ini kerana, semua organisasi media di Malaysia telah pun dilingkari dengan berbagai-bagai undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1986, Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 Serta Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
"Masyarakat perlu sedar bahawa media berpegang pada kebenaran dan berusaha sebaik mungkin untuk menyebarkan maklumat kepada umum mengikut peraturan sewajarnya,” katanya kepada wartawan Astro Awani, Farhana Joni.
Sumber: Astro Awani
Kredit Gambar: Astro Gempak