Hiburan

“Ibarat Macam Berbual, Tapi Itu Bukan Saya” - Jadi Sasaran Scammer, Aaron Aziz Buat Laporan Polis & Aduan MCMC

Mya Amri
31/03/2024
07:51 MYT
Sponsor Banner
“Ibarat Macam Berbual, Tapi Itu Bukan Saya” - Jadi Sasaran Scammer, Aaron Aziz Buat Laporan Polis & Aduan MCMC
Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz mendedahkan terdapat individu tidak bertanggungjawab telah menggunakan suara dan fotonya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam satu sindiket penipuan.
Menurut Aaron, laporan sudah pun dilakukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kes tersebut masih dalam proses siasatan.
“Saya sudah buat laporan ke MCMC, agak mengambil masa juga untuk diselesaikan kerana terdapat beberapa prosedur yang harus dilakukan seperti mengesan IP address.
“Saya sudah pun menghantar wakil ke kilang tersebut tetapi mereka kata sukar untuk dikesan kerana mempunyai ramai agen.
“Scammer itu menggunakan suara dan gambar saya dengan teknologi AI untuk menjual baju Polo t shirt. Ibaratnya macam saya yang berbual tapi itu bukan saya,” jelasnya.
Aaron memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Filem The Experts yang berlangsung di Glenmarie Hotel & Golf Resorts, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Boleh jejaskan reputasi

Dalam pada itu, Aaron berkata penipuan scammer seperti itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan reputasinya sebagai anak seni.
“Sebelum ini pernah berlaku tetapi saya sudah beri amaran dan mereka padamkan hantaran itu, tapi sekarang buat lagi.
“Saya kena buat laporan sebab benda ini tidak betul, dia punya promosi harga satu t-shirt RM1, tak masuk akal. Apa-apa nama saya, orang ingat saya pula yang scam pelanggan.
“Janganlah buat benda macam tu, diharapkan kita dapat bantuan atau pun pergerakkan yang lebih pantas daripada pihak MCMC.
“Bukan saya sahaja yang kena, ustaz Azhar Idrus pun sama, ada yang buat jual kain pelikat. Bila masalah UAI jual kain pelikat, macam macam orang buat.
“Saya harap pihak SKMM dapat tubuhkan unit khas untuk membanteras sindiket penipuan seperti ini," katanya.
Terdahulu, pada 11 Mac, Aaron membuat laporan polis ke atas empat akaun Instagram yang didakwa menjalankan sindiket penipuan.
Aaron membuat laporan berkenaan susulan tindakan melampau scammer yang dipercayai menggunakan nama, wajah dan identitinya untuk mempromosikan pelbagai produk jualan di media sosial.
Dalam perkembangan terkini, Aaron bakal membintangi sebuah filem aksi heist tempatan tahun ini bertajuk The Experts.
Filem yang turut dijayakan Mimi Lana, Remy Ishak dan Maya Karin tersebut bakal menemui penonton pada 23 Mei ini.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar