Ibu Instafamous Perjelas Video Dakwaan Malukan Warga Emas- “Hanya Yang Fikir Secara Terbuka Dapat Jawapan”
Ibu kepada instafamous yang didakwa menghina warga emas tampil memberikan penjelasan berkenaan video tular anak lelakinya.
Menerusi akaun Instagram miliknya, wanita itu telah memuat naik video penuh insiden itu dan menyatakan terdapat salah faham mengenai perkara itu.
Dia juga mendakwa video yang tular itu hanya diambil pada bahagian yang boleh mencetuskan perspektif negatif masyarakat terhadap anaknya.
“Alhamdullilah anakanda saya dan teamnya mewarisi kerjaya saya dalam bidang kebajikan.
“Rumah menempatkan gelandangan di Kuala Lumpur ini dinamakan Anjung Singgah dan dibina oleh Yayasan Kebajikan Negara @yayasankebajikannegara.
“Semasa saya bertugas sebagai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur pada tahun 2014, pusat menempatkan gelandangan ini baru mula beroperasi dan ada antara gelandangan yang kami laksanakan operasi gelandangan ditempatkan di sini.
“Selepas saya bersara, saya selalu impikan anak-anak saya meneruskan legasi kerja kebajikan yang saya mulakan dalam keluarga sejak 1995 apabila saya berkhidmat dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ini adalah sedutan video anak saya dan teamnya melaksanakan program keusahawanan dan motivasi bagi sebahagian gelandangan di Anjung Singgah Kuala Lumpur.
“Sayangnya hanya dipilih sedutan yang melihat dari perspektif negatif sahaja untuk diviralkan. Apa tujuan mereka?
“Hanya yang mahu dan memilih untuk berfikir secara sihat dan terbuka sahaja yg boleh mendapat jawapan yg tepat.
“Stay safe dan teruskan legasi mak untuk buat kebajikan anakanda semua,” jelasnya.
Terdahulu, tular sepotong video seorang usahawan dan instafamous lelaki di media sosial yang didakwa sengaja memalukan seorang warga emas dengan mengungkit kisah silamnya di hadapan orang ramai.