Laman Utama
"Ibu Malaikat Di Dunia, Kiriman Tuhan" - Marbitter
Memilih untuk pulang ke negeri kelahiran, Terengganu ketika pandemik COVID-19 meresahkan dunia, YouTuber, Marham Mohd Yusof atau lebih popular dengan gelaran Marbitter tidak pernah menyesal.
Selama 12 tahun bergelar anak perantau di Kuala Lumpur, pemuda ini memutuskan untuk berada di sisi ibu tercinta di Kuala Nerus, Terengganu.
Cintakan tempat kelahiran dan suasana bersama ibu dan rindukan momen indah zaman kanak-kanak antara sebab dia mengambil keputusan itu.
"Saya fikir bila saya dah berusia nanti, saya akan pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama-sama ibu saya dan menghabiskan waktu-waktu usia untuk melakukan balik perkara-perkara nostalgia semasa zaman kecil saya.
"Kita hanya merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Benda itu (balik kampung) tak sampai saya pencen pun... saya ingat mungkin ketika umur saya sekitar 40 atau 45 saya akan pulang.
"Ketika (awal) pandemik, saya bukan kehilangan kerja pada masa itu. Saya ada kerja, cuma hati saya terdetik, 'kenapa tidak... Ini masa yang tepat untuk saya pulang dan melakukan apa yang saya suka'," kata Marham kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Mesra disapa Mar, dia tidak sekadar balik ke kampung tanpa sebarang perancangan.
Menjaga ibu, Asiah Ngah adalah keutamaan buatnya. Mencari rezeki selagi berkudrat juga, dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Berbekalkan pengalaman, pada tahun 2020 Marham memulakan studio kayu dengan konsep tradisional. Memaparkan budaya dan kehidupan kampung, dia sendiri tidak tahu apakah percaturan itu akan membuahkan hasil atau sebaliknya.
Anak bongsu daripada enam beradik ini hanya 'bersenjatakan' doa seorang ibu.
"Emak saya tak cakap panjang, dia tengok saya buat... dia percaya dengan apa yang saya buat dan suka apabila saya berada di samping dia.
"Macam ini, untuk orang yang ada emak, kita nak beritahu doa ibu itu sangat penting. Saya sendiri, saya tulis doa apa yang saya nak. Saya bagi kepada emak saya... saya suruh emak saya baca setiap hari dan doakan saya.
"Sebab ibu itu adalah malaikat di dunia, kiriman daripada Tuhan. Saya minta emak saya mendoakan agar saya mendapat kejayaan di kampung. Tetapi bagi saya dan emak juga, konsep rezeki itu ada di mana-mana," kongsinya lagi.
Pernah berhabis duit simpanan RM20,000 untuk bergelar YouTuber, Marham mulai meraih tempat di hati warganet dengan konten bersahaja dan tersendiri.
Uniknya juga, Marham menonjolkan elemen tradisional seperti lesung batu, tempayan antik, tembaga serta dapur kayu yang sudah lama tidak digunakan dalam setiap kandungan videonya.
Sementara itu, Marham memaklumkan studio kayunya dijangka siap sepenuhnya sekitar sebulan lagi dan akan turut memberi peluang kepada para peminat untuk merasaikan pengalaman inap desa.
Sumber: Awani