Laman Utama
Ibu Mentua Minta Hannah Delisha & Imam Shah Sabar, Doa Kebahagiaan Anak Menantu - "Syurga-Mu Merestuimu ..."
Nama pelakon Hannah Delisha, 25, tidak pernah terpalit dengan kontroversi namun segalanya berubah selepas ibu kandungnya, Noor Ashikin Ahmad memuat naik beberapa hantaran seakan tidak merestui perkahwinan anaknya.
Susulan isu itu, pelakon veteren Singapura, Mariana Yati iaitu ibu kepada suami Hannah, Imam Shah tampil memberi sokongan kepada pasangan tersebut.
Menerusi Instagram (IG) miliknya, Mariana menyatakan dia akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Imam dan Hannah.
Mariana juga menitipkan pesanan agar anak dan menantunya itu terus bersabar dalam melayari bahtera rumah tangga.
"SubhanAllah. Allah menentukan segalaNya. Semoga mahligai yang dibina sampai ke syurga. Doaku tidak akan putus menjadi penghalang segala musibah.
"Allah itu Al-‘Alim. Ingat itu Imam dan Hannah, teruskan bersabar. Mummy sayang kamu berdua. Semoga Allah melindungimu anak-anakku," tulisnya.
Menerusi posting yang berbeza, Mariana memuat naik foto bersama pasangan sejoli itu dengan kapsyen yang menyentuh jiwa.
"Syurga-mu merestuimu, anakku," tulisnya lagi.
Terdahulu, Hannah dan Imam berkahwin pada 18 Februari lalu di Singapura selepas lima tahun menyulam cinta.