Berita
Ibu Menyusul 'Pergi' Selepas Tiga Hari Anak Meninggal Dunia
Pilu, apabila seorang ibu ditemukan tidak sedarkan diri bersama mayat anaknya di sebuah rumah di Kampung Gual To'Deh, di Pasir Mas, Kelantan yang sedang dilanda banjir disabkan meninggal dunia pada Selasa.
BERITA BERKAITAN: Banjir: Pengendali PPS Diingat Jaga Kualiti Makanan, Elak Keracunan – Dzulkefly
BERITA BERKAITAN: Datuk Ameer Beri Keizinan Khairul Aming Ambil Barang Di Mydin Bantu Mangsa Banjir
Yusnieta Mohd Lawi, 40, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu pada jam 6.30 pagi.
Yusnieta dimasukkan ke hospital berkenaan tiga hari lalu, hari yang sama anak perempuannya, Nur Iezarra Zaliefa Abd Talib, 9, ditemukan meninggal dunia di hadapan pintu bilik rumah berkenaan.
Kedua-dua mereka dibawa menggunakan lori tanah keluar dari kawasan banjir setinggi meter 0.9 hingga 1.5 meter di kampung itu untuk ke hospital.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kematian Yusnieta kerana strok.
“Ibu kanak-kanak ini meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPZ II.
“Nur Lezarra Zaliefa yang meninggal dunia sebelum ini disahkan oleh pihak hospital akibat paru-paru berair,” katanya.
Sementara itu, adik ipar Yusnieta, Norshazlina Jantan, 32, berkata, dia mengetahui berita sedih itu melalui anak sulung Yusnieta, Muhammad Denish Alfi Ald Talib, 14.
Katanya, sejak dibawa ke hospital, mereka sekeluarga keresahan kerana dimaklumkan keadaan Yusnieta tidak stabil.
Hanya suami Yusnieta, Abd Talib Abdullah, 42, bersama anak sulung mereka, Muhammad Denish Alfi Ald Talib, 14, berada di hospital.
“Sebelum ini, jenazah Nur lezarra selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To'Deh di sini, kelmarin selepas selesai dibedah siasat.
"Jenazah Yusnieta juga akan dikebumikan di tanah perkuburan sama,” katanya.