Laman Utama
Idan Aedan Tak Ambil Hati Kena ‘Reject’ Berlakon Sebab Kulit Gelap
Pelakon Idan Aedan mendedahkan pernah dikutuk kerana berkulit gelap sehingga namanya ditolak untuk berlakon dalam drama tempatan.
Pun begitu, Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 19, tidak mengambil hati dan sedar akan dirinya.
“Sebenarnya saya pernah dikutuk apabila ada yang mempersoal mengapa warna kulit gelap sangat. Tapi saya tidak terasa sangat sebab keluarga banyak beri sokongan dan semangat.
“Jadi, beberapa tahun kebelakangan ini, saya agak struggle untuk terlibat dalam drama tempatan sebab warna kulit dan dikatakan tiada rupa.
“Tapi biarlah orang nak cakap apa pun, cuma teruskan jadi positif sahaja,” katanya kepada Gempak.
Justeru, pelakon Filem Tebus itu memberitahu dia lebih banyak menerima peluang berlakon dalam filem dan drama yang ditayangkan menerusi platform penstriman atau Over-The-Top (OTT).
“Saya tidaklah terlalu kecewa apabila nama ditolak oleh pihak produksi TV. Malah bersyukur kerana masih ada rezeki lakonan daripada rumah produksi yang lain.
“Sebab itu saya banyak dilihat dalam OTT berbanding TV kerana mereka tak kisah tentang paras rupa tetapi lebih menekankan hasil kerja.
“Cuma agak kasihan untuk individu lain yang memiliki bakat besar tetapi tidak mempunyai rupa menghadapi nasib yang sama dengan saya,” ujarnya.
Idan kini muncul dalam filem Tebus yang ditayangkan dalam platform Prime Video bermula 31 Ogos lalu. Selain dirinya, filem terbitan Vian Media Sdn. Bhd. dan hasil arahan Jason Chong itu turut menampilkan Aedy Ashraf, Ahirine Ahirudin, Azhan Rani dan Jay Iswazir.