Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Ifa Raziah Singkir Virus Dalam Persatuan

Ahmad Shah 18/05/2016 | 05:06 MYT

Penyanyi Ifa Raziah tidak mahu ada virus dalam Persatuan Bintang Dangdut Malaysia atau Bintang kerana baginya golongan tersebut ‘merosakkan’.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 41, berkata individu yang menjadi virus dalam persatuan tidak wajar ‘disimpan’ kerana hanya akan memecah belahkan perpaduan dikalangan ahli.
Bagaimanapun menurut Ifa yang juga presiden Bintang, dia tidak teragak-agak untuk menyingkirkan ahli yang cuba menghasut serta memburukkan nama persatuan.
“Saya memandang serius perkara ini kerana golongan sebegini memang tidak diperlukan dalam mana-mana persatuan.
“Tetapi saya ini bukanlah orang yang kejam kerana sekiranya timbul masalah dikalangan ahli, saya bertanggung jawab untuk memberi pandangan dan nasihat kepada mereka supaya menyelesaikan masalah tersebut dengan baik,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Ifa tidak menolak dakwaan timbulnya pergolakkan ketika penubuhan Bintang ketika dia dilantik sebagai presiden.
Menurut Ifa, kemelut tersebut berlaku disebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan persetujuan dicapai para ahli yang melantiknya menerajui persatuan berkenaan.
"Apa yang boleh saya katakan memang benar pada awal penubuhan persatuan ini ada timbul isu daripada individu yang tidak senang melihat saya dipilih sebagai presiden.
"Tetapi saya duduk di kerusi berkenaan bukan dengan melantik diri sendiri tetapi adalah keputusan sebulat suara daripada ahli persatuan.
"Saya juga tidak mahu jawatan itu sebenarnya tetapi saya bulatkan hati kerana kepercayaan ahli terhadap saya menerajui persatuan Bintang Dangdut Malaysia.
“Tetapi saya kesal apabila individu tersebut bertindak menghasut ahli lain menentang saya, tapi Alhamdulillah kesemua ahli masih teguh menyokong saya,” ujarnya.
Malah kata Ifa lagi, kejadian tersebut mematahkan semangatnya pada peringkat awal, namun kembali yakin selepas Amelina dan Mas Idayu memberikan kepercayaan penuh kepadanya untuk membangunkan Bintang.
"Kejadian itu mematahkan semangat saya kerana saya tiada niat lain selain ingin melihat nasib penyanyi dangdut di negara ini terbela dan ingin kembali menyemarakkan irama itu dikalangan peminat.
"Jujur, saya langsung tidak dapat sebarang imbuhan buat kerja sebagai presiden tetapi kepercayaan dan harapan semua ahli jawatankuasa dan ahli membuatkan saya tidak peduli dengan tindakan yang ingin menentang saya," katanya.
Selain Ifa, Bintang turut memperlihatkan penyanyi lagu Angkat Kaki, Sheeda dilantik sebagai Timbalan Presiden, Amelina (Naib Presiden 1), Mas Idayu (Naib Presiden 2), Intan Maya (Bendahari) dan Ani Mayuni (Setiausaha Agung).

#Ifa Raziah #Persatuan Bintang Dangdut Malaysia #Dangdut
;