Hiburan
Ikhlas Berhijab, Norreen Tak Cuba Guna Agama Untuk Dapat Perhatian - “Saya Tahu Kenapa Saya Nak Berubah”
Personaliti media sosial, Norreen Iman, tidak ambil pusing sekiranya ada segelintir pihak yang menganggap penghijrahannya sebagai salah satu cara untuk mendapatkan perhatian.
Menurut Norreen atau nama sebenarnya, Norreen Iman Abdullah, 30, memberitahu penghijrahan yang dilakukan itu adalah secara sukarela dan tidak pernah sesekali terfikir untuk menggunakan agama bagi kepentingan diri sendiri.
BERITA TRENDING: Sudah Bertudung, Norreen Akui Masih Sama Seperti Dulu - “I Still The Same Me”
“Daripada awal lagi apa yang Norreen buat, baik mahupun buruk, orang tetap akan mengata. Jadi kalau nak bercakap pasal penghijrahan ni mungkin mereka ada tengok orang-orang lain yang gunakan agama.
“Tapi InsyaAllah saya tak, saya tak fikir nak gunakan agama, sebab saya tahu kenapa saya nak berubah,” katanya.
Sementara itu, Norreen ketika ditemui di Glam Lebaran Nona yang berlangsung di Glamhall Damansara, Petaling Jaya, sempat berkongsi bahawa perubahan penampilannya itu turut diterima baik oleh suami.
“Suami manalah yang tak suka tengok isteri dia bertutup-litup, dia gembira dan sentiasa sokong Norreen tak kira Norreen macam mana, dia okay sahaja.
“Sebab dia bukan jenis lelaki yang banyak cakap, dia tengok kita atas bawah cantik, dia okay, tapi apa pun Norreen tahu dia gembira dan Norreen pun gembira, sama-sama ke arah lebih baik,” kongsinya.
Terdahulu, Norreen pernah berkongsi dirinya telah memadam gambar-gambar lama yang tidak bertudung walaupun berasa sedikit sebak.
Meskipun begitu, Norreen tidak menyesal dengan tindakan memadam atau meletakkan hantaran lama dalam bentuk arkib.