Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Iklan Raya MONSTA Trending! 20 Juta Tontonan Dalam 24 Jam

Amri Hassan 19/04/2023 | 11:00 MYT

Iklan raya MONSTA sekali lagi trending pada tahun ini apabila ianya tular di media sosial selepas meraih lebih 20 juta tontonan dalam tempoh hanya 24 jam selepas dimuatnaik di pelbagai platform digital MONSTA seperti Youtube, Facebook, Instagram, Twitter dan Tik Tok.

'Temani Raya' adalah edisi ke-empat rantaian iklan raya MONSTA selepas ‘Kebenaran Raya’ pada 2019, ‘Memori Eidulfitri’ pada 2021 dan ‘Kembali Aidilfitri’ pada tahun lalu yang telah meraih 48 Juta tontonan di saluran YouTube MONSTA.
Hashtag #TemaniRaya, #BoBoiBoy, #Mechamato, Pian telah berjaya trending di laman media sosial Twitter di Malaysia dan Indonesia sejurus selepas kemunculan iklan tersebut. ‘Temani Raya’ juga telah melonjak ke posisi ke-6 Youtube Trending dalam hanya 20 jam. Manakala di platform Tik Tok pula, hashtag #TemaniRaya telah digunakan secara aktif oleh sebanyak 16.7 juta kali oleh para penonton dan peminat.

A post shared by MONSTA™ (@themonstastudio)

“Sudah jadi tradisi untuk MONSTA hasilkan animasi khas setiap sambutan Hari Raya. Bermula dari ‘Kebenaran Raya’ sehingga ke 'Temani Raya', setiap animasi ini mengambil masa dan kos yang tinggi. Namun, inilah hadiah untuk anda semua,” kata CEO MONSTA, Nizam Abd Razak.
Bertemakan ‘Temani Raya’, iklan raya ini membawakan kisah Amato dan anaknya, Oboi (BoBoiBoy) yang pergi mengunjungi sahabat baiknya Pian yang kesepian menyambut hari raya seorangan.
Rata-rata komen menunjukkan rasa teruja para penonton apabila dapat melihat watak Pian yang tidak asing dari siri animasi Mechamato, telah menjadi seorang jejaka dewasa.
Gelagat lucu si kecil BoBoiBoy, MechaBot bersama ayahnya, serta persahabatan yang akrab antara Amato dan Pian dari kecil sehingga dewasa turut menjadi bahan bualan orang ramai.
“Ini adalah bingkisan istimewa dari MONSTA buat para peminat dan penonton yang sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada MONSTA selama ini” kata Faiz Zainal Aabidin, Pengarah Pemasaran MONSTA.
Bagi yang sudah menonton filem Mechamato Movie, mereka pasti dapat merasai kaitan iklan raya MONSTA ‘Temani Raya’ dengan elemen-elemen yang terdapat di dalam filem tersebut seperti watak Maskmana, bangunan Mercu Destar dan Kapal Angkasa Wau Bulan yang digunakan oleh watak animasi popular, Papa Zola.
Bagi yang ingin menonton filem animasi nombor satu tempatan itu, Mechamato Movie kini boleh ditonton seisi keluarga pada musim perayaan ini melalui Astro First.

#Viral #Trending #Iklan #Raya #YouTube #Monsta
;