Laman Utama
Impian Mahu Jadi Suri Rumah, Tapi Elly Mazlein Kini Di Era Emas: “Penting, Jangan Buat Onar!”
Tidak keterlaluan jika dikatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sosok seorang wanita genit yang telatahnya cukup mencuit hati sedang melalui era emas kariernya.
Wanita itu yang sangat dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom dan kemudian menjadi sepotong nama dengan panggilan lucu, Kepom, adalah figura yang dimaksudkan.
Ironi, barangkali generasi masa kini yang mengenali Kepom lewat penampilan di kaca televisyen dengan keletah dan sikap cerianya tidak pernah sedar nama sebenar beliau adalah Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi atau dikenali dengan nama pentas Elly Mazlein pada awal kemunculannya lebih 10 tahun lalu.
Terkini, Elly diumumkan akan mengemudi acara kemuncak Gempak Most Wanted 2022 (GMWA 2022) bersama Radin, Amelia Henderson dan Sean Lee yang julung kali diadakan pada 26 Februari 2023.
Elly Mazlein, Kak Lina Pom Pom atau Kepom, pilihlah mana satu panggilan yang anda suka, duduk bersama #G The Untold Story dan berbagi kisah perjalanan karier seninya dari seorang tunas penyanyi berkembang menjadi pelakon lalu harum di pentas pengacaraan sebelum kini menakluk hati rakyat Malaysia lewat kerjaya baharunya sebagai pengendali Carta Baru ERA 40 di konti radio ERA.
G The Untold Story: Jadi kita panggil Kak Lina Pom Pom ke, Kepom ke, Elly Mazlein?
Elly Mazlein: Panggil Kak Lina Pom Pom ke, Kepom ke, Elly Mazlein pun boleh dik. Kepom ada dalam semua karakter. Tapi hari ini boleh panggil saya Suraya (ketawa).
#G: Nama-nama tersebut membentuk karakter Kak Lina hari ini sehingga disayangi jutaan rakyat Malaysia. Apakah titik awal perubahan penjenamaan seorang Elly Mazlien kepada beberapa nama ini?
EM: Jika ditanya saya kira penjenamaan atau pengenalan nama Kak Lina Pom Pom dan Kepom ini terjadi selepas melalui banyak fasa kehidupan sama ada jatuh bangun dan pengalaman lampau ya. Saya jadi kuat dan lebih sayang diri sendiri.
Saya bangkit dan makin berani. Bila kita diduga, keberanian datang dan tidak boleh lembik. Jadi dari sini saya keluar menjadi orang lain. Tapi saya bersyukur kerana perjalanan hidup membuat saya matang.
Dan bercakap tentang karakter yang dimainkan di atas pentas pula, sebenarnya saya lebih banyak mengikut kehendak penerbit. Takkan mahu ‘lembik’ penyampaian saat mengacarakan program Gegar Vaganza misalnya. Pengacaraan dan berlakon tidak jauh lari, kedua-duanya memerlukan permainan karakter dan penyesuaian diri. Itulah yang saya lakukan. Bila berlakon, baca skrip saya dalami watak dan begitu juga apabila menjadi pengacara, tengok skrip, dengar permintaan penerbit, saya selami karakter yang akan dipentaskan.
#G: Sekarang banyak tawaran berlakon?
EM: Tahun ini saya sebenarnya mahu perlahankan kerja berlakon. Sebab fokus saya tahun ini mahu kembali semarak sebagai penyanyi. Mungkin akan ambil satu projek lakonan untuk setahun ini.
Bagaimanapun saya tak mahu gopoh cari lagu kerana sudah lama tidak keluar lagu. Sekarang adalah masa untuk saya dan tim mencari lagu ari yang terbaik dari banyak komposer. Sasaran saya mungkin pertengahan tahun kerana sekarang masih sibuk dengan jadual mengacara dan beberapa hal lain. Saya mahu bila keluar lagu, biar boom. Yang penting, lagu tersebut kelak punya lirik yang positif, sebab kadang-kadang lirik boleh jadi jalan hidup.
Malah, jadual saya sampai Disember sebenarnya sudah penuh. Banyak dengan kerja pengacaraan, menyanyi dan harapnya masa bersama keluarga.
'Papa Awan Nano' kata apa?
#G: Jadual kerja anda sangat sibuk saat ini. Anda boleh dilabelkan sedang berada pada era emas. Bagaimana suami atau Papa melihat perkara ini?
EM: Saya boleh kata Papa adalah lelaki kiriman Tuhan. Walaupun jarak usia kami 10 tahun berbeza tapi dia adalah suami terbaik, papa yang disayangi anak-anak, menantu kesayangan dan terbaik abah.
Papa seorang suami yang sangat memahami dan tidak pernah menganggu karier seni saya. Anak nombor satu, isteri nombor dua. Sebagai manusia biasa, kami semua tak sempurna, begitu juga saya. Dia sangat melengkapkan kehidupan saya dan menjadikan saya lebih baik.
Bercakap mengenai bagaimana Papa melalui kesibukan kerja saya, dari dahulu memang dia sudah cakap ‘mama dengan dunia mama, papa dengan dunia papa.’
Dia bukan jenis melepak. Dia selalu utamakan anak. Alhamdulillah dia sangat matang.
Jadi apabila melihat karier saya seperti ini sekarang, jadi rebutan dalam industri, Papa hanya pesan jaga semuanya dan doakan yang terbaik buat saya tidak kira dalam apa juga keadaan.
#G: Dapat energi daripada mana ya sebenarnya bila di atas pentas? Walaupun ada yang suka, tapi segelintir rasa kurang manis. Bagaimana suami menghadapi hal ini?
EM: Suami okay, sebab saya sebagai seorang isteri menjaga batas. Saya memanglah mengedik di atas pentas tapi tak sentuh mana-mana lelaki. Saya menjaga batas dan sebenarnya saya tidak pernah pusing apa orang cakap. Benda negatif macam ini saya tidak suka bagi kenyataan sebab saya mahu sentiasa positif. Ya saya percaya haters memang ada di sekeliling tapi jangan ambil hati.
#G: Bercakap tentang haters, anda baca komen-komen yang ditinggalkan dalam laman sosial?
EM: Saya baca komen dan saya okay. Kita kena faham, saya sendiri sebagai manusia ada juga tidak suka orang tanpa sebab jadi kenapa nak kecil hati bila orang tak suka kita?
Memang kadang-kadang ada yang sentuh perkara yang tak tentu hala, tapi semua orang berhak bercakap. Jadi kalau rasa tak kuat dan akan terasa, jangan baca, jangan layan. Kekal positif dan jalani hidup sebahagianya.
Mahu Sidai Baju, Baca Novel Dengar Lagu Jazz
#G: Maaf cakap, era emas anda muncul agak lewat. Di akhir usia 30-an dan kini pada umur 42, semuanya sedang bersinar terang-benderang. Inikah yang anda pernah bayangkan?
EM: Tak, tak pernah sebab saya ingat masa usia 40 tahun sudah boleh settle down. Saya ingat saya cakap hal itu pada suami. Tapi sekarang dengan keadaan seperti ini, banyak kepercayaan diberi kepada saya, saya letak sasaran sehingga usia 45 tahun untuk settle down, Insya-Allah.
Lepas itu saya mahu jadi suri rumah tangga, nak cuci baju, sidai baju, nak masak, hidangkan makan, nak mop lantai, nak minum kopi tengok cerita Korea dan nak baca novel dengar lagu Jazz. Saya peminat Jazz, muzik ini tenang. Saya rindu momen begini.
Memang sebelum ini saya pernah rasa terutama waktu PKP masa pandemik COVID 19 dan sewaktu saya ambil cuti, tapi inilah impian saya bila sudah tidak sibuk bekerja.
Dan macam saya semua orang mahu pergi ke arah kebaikan, jadi saya pun ada impian nak jadi yang lebih baik. Ini yang saya inginkan.
#G: Takut atau tidak bila terlalu popular?
EM: Saya selalu cakap dengan diri sendiri ‘Ingat tau saya kena rasa momen ni kerana ia tak sampai bila bila’. Semua orang akan rasa di tempat tinggi dan turun balik, kerana ada perasaan takut, saya tak nak mengagungkannya.
Saya sedar diri dikenali tapi kena ingatkan tempat saya ini tidak lama, jadi bila teringat saya popular misalnya, jangan taasub buat kerja macam biasa. Ya saya tahu orang minat dan percaya bakat kita. Selebihnya humble dan berbuat baik. Jika orang tidak suka, saya okay.
Kak Lina pulun semua job!
#G: Hampir semua pekerjaan dalam industri sudah anda lakukan — menyanyi, berlakon, mengacara dan terkini deejay radio di ERA. Apa lagi yang belum?
EM: Buat masa ini saya suka apa yang dilakukan. Selepas saya sudah menjadi penyanyi, pelakon, pengacara dan deejay radio, saya hanya mahu tinggalkan industri dengan kemanisan. Lepas itu macam saya katakan tadi, saya hanya mahu jadi suri rumah. Tapi buat masa sekarang dan suami masih mahu bekerja dan akan melalui fasa ini dengan tenang sehingga tiba masanya (settle down).
#G: Apakah prinsip kerja yang anda pegang dari dulu sehingga sekarang?
EM: Saya tidak pernah batalkan pekerjaan saya. Salah satu cara kekalkan diri dalam industri, jangan buat onar kecuali kecemasan seperti masuk hospital. Untuk saya, sangat jarang (cari alasan) kerana saya tidak suka menjadikan hal-hal lain sebagai alasan untuk tidak bekerja.
Pada akhirnya, impak itu akan kembali kepada kita. Macam saya selalu cakap pada diri sendiri, jangan buat masalah kerana susah dapat peluang macam ni. Ini saya mahu cakap sedikit dan pesan juga untuk diri sendiri. Kalaupun kita senang dapat peluang, jangan susahkan orang lain. Kita kena hormat kerja untuk masa depan kita. Jangan beri reputasi buruk kepada orang sekeliling atas kepercayaan yang diberi.
#G: Okay, jujurnya anda bekerja keras sebab peluang, kepercayaan atau bayaran yang baik. Atau kerana menghormati kerjaya anda. Mana satu?
EM: Dari dulu saya jaga peluang dan kepercayaan yang diberi sebab mahu kerja. Kita bukan gaji bulan, tapi ada kerja ada gaji. Jadi apabila saya sedar benda ini, jagalah kerja kita.
Sebab itu kunci saya dalam kerjaya seni sampai 42 tahun adalah disiplin, bersungguh dengan kepercayaan dan bagi lebih dari 100 peratus, maka orang akan nampak, saya boleh kerja lebih lagi. Jujurnya saya cuma mahu bahagia.
#G: Anda rasa berbaloi dengan perjuangan Elly Mazlein dari zaman menyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan sekitar tahun 2015 dahulu, menjadi fenomena lewat lakonan dalam Kampung People, kemudian meletup sebagai hos Gegar Vaganza dan kini diberi kepercayaan mengendali Carta Baru ERA 40 dia konti radio ERA?
EM: Saya rasa berbaloi sangat jadi anak seni. Dalam kerjaya kena ada strategi, dan itulah yang saya lakukan dari zaman menyanyi penyanyi, beralih ke bidang lakonan, mengacara dan kini deejay radio.
#G: Paling baru, anda diumumkan sebagai salah seorang hos di GMWA 2022 bersama tiga pengacara lainnya. Apa yang khalayak boleh dapatkan dari anda dan Radin, Amelia serta Sean Lee?
EM: Tentulah penonton mendapatkan yang terbaik dari gandingan kami berempat. Kata nombor syatttttuuuuu dik.