Hiburan
Indah Ruhaila Pilih Genre Keroncong Sebagai Single Terbaru?
Penyanyi Indah Ruhaila tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk membawakan lagu bergenre keroncong sebagai single terbarunya kelak.
Menurut Indah, ramai yang tidak tahu dia sebenarnya memulakan kerjaya sebagai penyanyi dengan lagu-lagu bercorak tradisional dan irama keroncong merupakan salah satu daripadanya.
"Saya mula menyanyi lagu keroncong seawal umur 16 tahun sehinggalah 21 tahun. Jadi tipulah kalau saya tak rindu nak menyanyi macam tu lagi.
"Kadang kala dekat rumah saya berlatih juga supaya 'air lenggok' itu tak hilang. Keroncong bukanlah satu genre muzik yang mudah," katanya.
Jelas Indah lagi, dia juga pernah terfikir untuk merakam lagu-lagu berbentuk keroncong, namun trend muzik ketika ini kelihatan sedikit sukar.
"Berbalik pada trend serta jenis muzik diterima pendengar sekarang, mereka kini lebih kepada lagu-lagu fresh pop, elektronik pop dan muzik yang serba modern.
"Tapi Insya-Allah mana tahu jika nanti lagu-lagu ini diterima semula, mesti saya nak buat," katanya.
Indah ditemui ketika majlis pelancaran Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semestar 2 di Celcom Axiata Berhad, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Untuk rekod, Indah dan suaminya, Ahmad Shariff mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2017.