Laman Utama
"Individu Belum Vaksin Boleh Rentas Negeri Nanti, Tapi ..." - KJ
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tiada kaedah untuk menghalang individu yang belum divaksin untuk merentas negeri apabila dibenarkan kelak.
Jelasnya, sebaik sahaja kelonggaran itu diberikan kepada rakyat, bermakna tiada lagi sekatan jalan raya akan dilakukan.
"Kita telah kaji untuk laksanakan mereka yang tidak menerima vaksin untuk buat ujian kendiri.
"Namun demikian, tidak ada cara untuk kuatkuasakan cadangan ini. Kita juga tidak mahu adakan sekatan jalan raya dan semak setiap orang yang keluar.
"Jika buat begitu, saya rasa rakyat akan lebih marah kalau berlaku kesesakan jalan memandangkan mereka sudah lama tunggu hendak balik kampung.
"Ini bukan macam gelembung Langkawi. Yang itu jumlah tidak ramai dan dapat dibuat di KLIA. Selepas ini jalan keluar masuk dari semua negeri dibuka dan sangat mustahil untuk kita semak setiap orang yang keluar masuk," katanya pada sidang media khas petang Khamis.
Tambah Khairy, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada termaktub dan digunapakai termasuk tidak membenarkan individu yang belum lengkap divaksin untuk 'dine-in'.
"Maka, walaupun mereka boleh rentas negeri, tetapi mereka tidak dibenarkan makan di kedai. Ini kerana tidak ada cara untuk mengawal pergerakan yang belum divaksinasi.
"Ini sahaja cara yang kita boleh kuatkuasakan. Kita tidak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri ini sebab ramai sudah tunggu kebebasan hendak balik," ujarnya.
#Khairy Jamaluddin
#KJ
#Vaksin
#Kampung
#Balik
#Rentas Negeri
#Menteri Kesihatan
#Anti Vaksin', SOP, MKN, Viral,