Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Influencer Maut Enam Tahun Tak Minum Air & Amalkan Diet Vegan, Ini Penjelasan Pakar Nutrisi!

Maliah Surip 02/08/2023 | 14:37 MYT

Seorang influencer yang cukup terkenal kerana mengamalkan diet vegan atau hanya memakan sayur sayuran dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran.

Zhanna Samsonova, seorang warganegara Rusia meninggal dunia pada usia 39 tahun baru-baru ini.
Menurut keluarga dan teman-temannya, Samsonova sudah menjalani kehidupan diet vegan sejak beberapa tahun lalu.
Samsonova hanya mengambil makanan dalam kelompok buah-buahan dan sayur-sayuran. Dia malah didakwa telah lebih enam tahun tidak minum air sebaliknya mendapatkan sumber cecair daripada memproses sayur atau buah-buahan menjadi jus.
Meski bangga menjalani diet vegan yang diamalkan dan dipamerkan dalam laman sosialnya namun keluarga dan kawan-kawan sangat bimbang melihat bagaimana berat badannya susut selain tahap kesihatannya merosot dengan teruk.
Pada hujung hayatnya, Samsonova yang lari selepas cuba diselamatkan teman-teman hanya makan buah-buahan seperti nangka dan durian.
Mendiang yang didakwa menghidap anorexia juga dikatakan berada dalam keadaan lemah beberapa bulan terakhir malah hanya mampu berdiri dalam beberapa minit untuk berjalan atau menaiki tangga akibat daripada diet ekstrem yang dilakukan.
Berita kematiannya mendapat liputan serta menerima pandangan dalam pelbagai kalangan profesional termasuk seorang pakar nutrisi dari sebuah hospital di New Delhi, India.
“Sejujurnya melihat kepada apa yang dilalui dengan menjalankan diet tersebut adalah satu keajaiban untuk dia masih bertahan dan hidup,” ujar Ritika Samaddar seperti dilaporkan The Indian Exprress.
Ritika memberitahu setelah melihat wanita itu hanya makan buah seperti nangka, adalah amat jelas Samsonova telah kehilangan beberapa zat penting untuk tubuh seperti protein, iron, kalsium dan vitamin B12.
Pakar diet dan nutrisi kata Ritika lagi sama sekali tidak akan memberi kebenaran kepada individu yang mengamalkan diet vegan ekstrem seperti ini.
“Tolong fahami bahawa diet vegan adalah tentang mengambil makanan dari kelompok buah atau sayuran tanpa makanan proses.
“Ini bermakna tubuh menerima protein yang sangat sedikit. Diet seperti ini mungkin membantu anda hilang berat badan dalam jangka masa pendek tetapi untuk tempoh yang panjang badan perlu sihat dengan pengambilan pemakanan yang seimbang.
“Pada masa yang sama badan kita tidak boleh menafikan kepentingan zat lain seperti karbohidrat dan lemak.
“Sekurang-kurangnya badan memerlukan 25 peratus lemak. Tanpa lemak yang ada dalam diet, badan tidak dapat mencerna vitamin yang masuk seperti vitamin A, E, D dan B12,” jelasnya panjang lebar.

#Viral #Meninggal Dunia #Rusia #Influencer #Nutrisi #Diet Vegan #Tak Minum Air #Zhanna Samsonova
;