Laman Utama
“Infografik Pengambilan Dos Ke-4 Vaksin COVID-19 Adalah Palsu” - KKM
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan pihaknya pernah menerbitkan infografik berkaitan pengambilan dos vaksin COVID-19 keempat seperti yang ditularkan.
KKM menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan bahawa infografik yang tular itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan pihaknya.
"Bagi memastikan fasa Peralihan ke Endemik yang akan bermula pada 1 April ini dilaksanakan dengan selamat, fokus paling utama adalah memupuk kesedaran komuniti ataupun solidariti komuniti serta tanggungjawab individu terhadap pematuhan SOP (prosedur operasi standard) dan meluaskan capaian program vaksinasi sedia ada," menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut menjelaskan, penerima vaksin lengkap jenis Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap semua jenis perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 24 Feb lepas.
Tempoh masa yang ditetapkan telah dilanjutkan sehingga 31 Mac ini dan status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak, bermula 1 April ini.
Sumber: Astro Awani