Berita
Ingkar PKP: Anak Zahid Hamidi & Suami Didenda RM800
Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Majistret, Shahwira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah, 41, dan suaminya bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.
Kesalahan dilakukan pada 20 April 2020, jam 9 pagi.
Kedua-dua mereka melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan yang sama.
Denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya .
Di kamar pertuduhan, Timbalan Pendakwaraya, Nurashikin Mokhtar memohon supaya kedua-dua mereka dikenakan denda maksimum RM1,000.
Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kedua-kedua tertuduh memberi alasan anak guamnya mendapat surat jemputan dari Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.
Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi bagaimanapun, beliau dan suami tidak melalui pintu masuk hadapan mahkamah kerana dipercayai menggunakan laluan lain.
Beliau kemudiannya dilihat keluar dari kamar mahkamah pada jam 11.05 minit pagi dan sempat melambaikan tangannya kepada pengamal media serta mengucapkan terima kasih.
"Terima kasih semua dan selamat berpuasa," katanya.
Pada 20 April lalu, Nurul Hidayah, memuat naik gambar di Instagram miliknya ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing
Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa beliau dan suaminya melanggar PKP kerana keluar berdua dan seolah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk berbuat demikian.
Sumber: Bernama