Viral
Ini Hasilnya Bila 'Kahwinkan' Kain Tenun Dengan Streetwear! Ramai Teruja Tengok Koleksi Karl Shafek
Pernah terfikir untuk mengahwinkan fabrik tenun dengan fesyen streetwear?
Bagi pemilik jenama fesyen Neonate, Karl Shafek, idea itu telah mencetuskan inovasi baharu untuk koleksi Aidilfitri tahun ini yang diberi nama BANGSAWAN.
Pertama kali berkolaborasi dengan Tenun Pahang Diraja Felda, kata Shafek, koleksi itu memecahkan skeptikal bahawa fabrik tenun hanya sesuai digayakan kelompok bangsawan semata-mata.
"Kolaborasi ini sebagai sebuah lambang bahawa jenama street wear boleh berpadu dengan fabrik atau design tenun jika kita berani meneroka sesuatu yang baru.
"Ia sekali gus menjadi pemecah skeptikalnya kita apabila mengingkatkan kain tenun apa lagi dengan predikat Diraja hanya untuk golongan bangsawan atau elit.
"Sebaliknya, kolaborasi ini akan membuktikan bahawa kain tenun juga boleh dan mampu digayakan oleh semua golongan termasuk generasi muda," katanya ketika pertunjukan fesyen Gaya Koleksi Raya di Publika semalam.
Bagaimanapun pertembungan fabrik antara kain tenun dan cotton yang sering dipakai Neonate adalah satu cabaran yang perlu dilalui dalam kolaborasi unik ini.
Namun, sebagai pemilik jenama yang sentiasa berani mencuba dan mahu melahirkan lebih banyak rangkaian baharu dengan idea yang segar, cabaran itu berjaya dilalui.
Sementelah 'mengahwinkan' corak Neonate berasaskan logo dengan motif-motif dan corak tradisional asal Songket Pahang yang banyak berlambangkan bunga cengkih, geometri, diamond dan kerawang rumah adalah kerja yang tidak mudah.
"Namun inilah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan Neonate kerana menggabungkan street wear dan tenun yang selalu dipandang tinggi adalah hal yang jarang, malah kalau boleh saya katakan belum pernah terjadi beberapa tahun kebelakangan ini adalah sesuatu yang perlu ada di dalam industri fesyen kita," tambahnya lagi.
Rangkaian BANGSAWAN kelak dijual pada harga yang kompetatif dan mampu milik.
Harga bagi songket custom made berada dalam lingkungan RM1500 manakala untuk baju Melayu bermula dari harga RM200 ke RM400.
Selain baju Melayu, edisi kali ini juga punya kurta dan kurta kemeja untuk dimiliki.
Foto: @taufiqnadzri, @neonate.company
Must-Watch Video