Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Ini Plan Wawa Zainal & Aeril Zafrel Kalau TikTok Shop Diharamkan Di Malaysia

Amri Hassan 12/10/2023 | 08:50 MYT
Pasangan pelakon dan usahawan popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diambil susulan kerajaan Indonesia yang mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok.
Kata pasangan yang mengusahakan perniagaan kecantikan Wawa Cosmetics itu, mereka mempunyai pandangan tersendiri.
"Sebagai usahawan, kami sedar dengan perkara terbabit. Saya difahamkan penutupan TikTok Shop di Indonesia adalah untuk menambah baik ekosistem perniagaan di negara terbabit.
"Ada ura-ura juga yang mengatakan Malaysia bakal mengambil tindakan sama. Nak kata bersetuju sekiranya perkara itu akan terjadi pun tak boleh juga kerana banyak peniaga kecil kami yang menjual produk menerusi TikTok Shop.
"Sebelum adanya TikTok Shop, kami ‘survive’. Kami memulakan serta membangunkan bisnes sebelum adanya TikTok Shop lagi," katanya kepada Gempak.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan mengumumkan Indonesia mengharamkan TikTok Shop yang memberi pendapatan tinggi peniaga dalam talian berkuat kuasa serta-merta.
Ia bertujuan melindungi peniaga di luar talian dan pasaran kerana harga ditawarkan terlalu murah hingga menjejaskan peniagaan kecil dan sederhana di luar premis serta menghalang penggunaan data peribadi dalam kepentingan perniagaan, sekali gus ekosistem perdagangan elektronik yang adil, sihat lagi bermanfaat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan pada 7 Oktober lalu yang mengatakan kerajaan Malaysia akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh Indonesia mengharamkan TikTok Shop sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini.
Kata Aeril, mereka sudah ada perancangan tersendiri sekiranya TikTok Shop diharamkan di Malaysia.
“Ada atau pun tidak TikTok Shop, kami sudah mempunyai perancangan masa hadapan mengenai apa yang bakal dilakukan. Kalau kena ‘ban’, kami sudah merangka apa yang kami harus buat. Jika ia masih diteruskan, kami pun sudah mempunyai perancangan yang bakal dilakukan.
“Ada stokis bergantung dengan TikTok Shop, ada juga stokis yang bergantung kepada jualan secara offline, mereka mempunyai ‘team’ yang ramai. Apa pun keputusan kerajaan, kami sudah bersedia. Jika benar ia bakal dilaksanakan di Malaysia, kami harap pihak berkuasa dapat memberi masa untuk peniaga dan keputusan tidak dibuat dengan drastik,” katanya lagi.
Wawa dan Aeril ditemui di majlis pelancaran produk terbaharu mereka, Wawa Tinted Sunscreen di Puchong, baru-baru ini.
Menawarkan solusi dua dalam satu, pemilihan bahan aktif di dalam produk terbaharu Wawa Cosmetics ini bukan sahaja membantu mengelakkan cela, namun turut memudahkan sesi solekan.
Tegas Wawa, penggunaan krim tabir suria atau ‘suncreen’ cukup penting dalam rutin penjagaan kulit wajah, lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca Malaysia yang panas.
“Kami memilih SPF 35+ dan PA+++ kerana ini kandungan yang terbaik bagi perlindungan wajah, ia tidak berminyak dan cukup ringan. Jadi selesa dipakai walau seharian di luar.
“Buat masa ini kami hanya mempunyai tona warna ‘light’ dan ‘natural’ sahaja, namun melihatkan permintaan yang cukup positif, Insya-Allah lebih banyak pilihan tona warna akan dikeluarkan,” kata Wawa.
Dalam acara sama, Wawa dan Aeril turut mengumumkan personaliti media sosial popular, Dahlia Rizal sebagai wajah untuk produk berkenaan.
#Viral #Aeril Zafrel #Wawa Zainal #Wawa Cosmetics #Kerajaan #Haram #TikTok Shop
;