Hiburan
Ini Rutin Unik Abid & Amin Ketika Berhari Raya - “Selalu Kalau Naik Kereta Kita Pasang Lagu Raya, Tapi…”
Pasangan kembar Abid dan Amin berkongsi cara berhari raya yang telah menjadi tradisi mereka adik beradik bersama keluarga.
Menurut dua beradik ini, ayah mereka tidak akan memasang lagu raya ketika dalam perjalanan sewaktu mahu pergi berziarah.
Berbual
Sebaliknya, ayah kepada Abid dan Amin lebih gemar berbual bersama anak-anak dan hal itu menjadi ikutan mereka sekeluarga sehingga ke hari ini.
“Kita punya cara hari raya berbeza sedikit. Selalu kalau naik kereta kita akan pasang lagu raya. Tetapi ayah kami akan tutup radio dan kami akan bersembang anak beranak.
“Banyak yang kami bualkan dan antaranya ayah akan bersembang tentang perihal zaman dulu kepada kami. Rutin sebegini mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga,” kata mereka kepada Gempak.
Content raya
Ditanya mengenai kandungan media sosial yang dibikin sempena Syawal, pemenang kategori Digital Content Creator (Lifestyle) menerusi Gempak Most Wanted Awards 2023 ini memberitahu yang mereka menghasilkan beberapa video untuk tatapan pengikut.
“Ada dua kandungan yang kami tampilkan iaitu video pelita untuk hari raya dan video baju raya kucing,” ujar mereka.
Seiring dengan populariti yang semakin meningkat naik, Abid dan Amin turut merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada Syawal kali ini.
“Memandangkan ramai dah tahu rumah kami (di mana), jadi insya-Allah kami akan adakan rumah terbuka.
“Menariknya, selain menjamu selera, kami turut mahu tunjukkan hasil DIY yang banyak kami hasilkan sebelum ini. Tetamu boleh lihat secara live,” tutup mereka.