Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Ini Sebab Kenapa Anak-Anak Tiri Panggil Indah Ruhaila 'Mommy Monster'

Mya Amri 12/04/2024 | 05:50 MYT
Penyanyi, Indah Ruhaila melahirkan rasa teruja dapat menyambut Hari Raya bersama dua anak tirinya.
Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 36, berkata kedua-dua anak perempuan itu sendiri yang menyatakan hasrat meraikan Aidilfitri bersamanya dan juga suami, Ahmad Shariff Ahmad Taufik di Johor Bahru.
“Raya tahun ini berbeza sedikit sebab saya beraya dengan dua anak perempuan saya. Selalunya anak-anak saya akan beraya dengan bekas isteri kepada suami saya tapi tahun ini mereka memilih untuk beraya dengan kami.
“Mereka pun sudah besar, yang sulung berusia 15 tahun dan yang kedua berusia 11 tahun, jadi mereka boleh memilih. Jadi tahun ini saya agak teruja sebab dapat buat persiapan untuk anak-anak.
“Mereka memilih untuk beraya bersama kami sebab nenek di sebelah ibunya sudah meninggal dunia jadi di kampung mereka sudah tiada siapa, jadi saya cakap tak mengapalah boleh beraya dengan kami,” katanya ketika ditemui Gempak.

Akrab dengan anak tiri

Tambah Indah lagi, hubungannya dengan anak-anak tiri juga akrab walaupun mereka jarang bertemu.
Malah dia sendiri sudah menganggap mereka seperti anaknya sendiri.
“Awal saya buat persiapan untuk mereka, dan kami akan pakai sedondon baju warna hitam sebab mereka yang pilih hitam.
“Kita pun layankan sahaja sebab seronok melihat mereka juga teruja. Tahun ini giliran beraya di kampung belah saya dan kami bawa anak-anak sekali.
“Itu yang membuatkan saya lebih teruja kerana kali pertama mereka beraya dengan kami dan bawa balik ke kampung saya pula. Di sebelah saya pula tidak ramai anak kecil, semuanya sudah dewasa.
“Jadi bila mereka ada, meriahlah suasana nanti. Insya-Allah kami akan bermain banyak permainan nanti di sana.
“Alhamdulillah hubungan saya dan anak-anak rapat walaupun mereka menetap bersama ibu mereka, tapi kami ada keluar bersama-sama.
“Saya ini seperti kawan mereka, sebab mereka pun anak-anak yang senang ‘masuk’. Mereka pun memanggil saya Mommy Monster, bukan sebab garang tapi sebab saya comel,” katanya sambil ketawa.

BERITA TRENDING: “Agak Berat Untuk Pikul, Ada Waktunya Rasa Sedih” – Indah Ruhaila Kerap Fikir Soal Zuriat, Masih Usaha Cara Semula Jadi Berbanding IVF

Untuk info, Indah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Shariff Ahmad Taufiq, 43, pada 24 Disember 2017.
Sebelum ini, Shariff pernah mendirikan rumah tangga namun berakhir dengan perpisahan. Hasil perkahwinan itu, Shariff dikurniakan dua cahaya mata perempuan yang masing-masing berusia 15 tahun dan 11 tahun.
#Indah Ruhaila #Raya #Anak Tiri #Raya 2024 #Mommy Monster
;