Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Ini Sebab Kenapa Cikgu Azman Sebak Ketika Menghadiri Tayangan Perdana Gemencheh Boys

Izwan Isa 11/10/2023 | 11:50 MYT
Figura bernama Cikgu Azman yang dijemput menghadiri majlis malam gala Gemencheh Boys gagal menahan sebak apabila salah seorang daripada anak muridnya, Shafiq Sharif meminta dia berdiri di atas podium dan mengalungkan sebuah pingat kepadanya.
Tidak pernah mengharapkan penghargaan sedemikian rupa, Cikgu Azman berkata, dia berasa terharu dan berterima kasih kerana produksi Gemencheh Boys dan Astro Shaw memilih untuk mengangkat kisah benar yang pernah berlaku dalam hidupnya di layar perak.
“Sebenarnya jiwa saya tersentuh sebab seumur hidup, saya tak pernah naik podium. Itu pertama kali saya merasa naik… sebab saya bukan atlet tapi saya jurulatih. Orang yang naik podium selalunya Shafiq Sharif.
“Terima kasih sebab menghasilkan filem ini, yang saya anggap sebagai satu penghargaan buat guru-guru di seluruh Malaysia,” katanya kepada Gempak.
Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.
Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.
Gemencheh Boys dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila guru disiplin mereka, Cikgu Azman memperkenalkan permainan kriket.
Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.
Selain Jason, yang juga pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, Gemencheh Boys turut mendapat sentuhan Eric Ong.
Filem ini membariskan pelakon Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tonggak utama.
Turut membintangi filem ini Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam A/L Vedan.
Membabitkan kerjasama Astro Shaw dengan GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini.
BACA: Gemencheh Boys, Filem Inspirasi Berdasarkan Kisah Benar ‘Enam Jahanam’ & Sukan Kriket​
#Gemencheh Boys #Cikgu Azman
;