Hiburan
Ini Sebab Kenapa Single Baharu Buat Nomad Sebak
Setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menceritakan tentang perasaan rindu. Begitu juga dengan Nomad, yang meletakkan rasa itu menerusi single terbaharunya, Mengejar Cinta.
Dilancarkan pada 16 Februari lalu, Mengejar Cinta merupakan sebuah momento bagi menzahirkan sebuah kerinduan dan kenangan yang telah pergi buat selamanya.
Lebih menarik, lirik bagi lagu ini menceritakan tentang kecintaannya pada sosok yang telah banyak memartabatkan pejuangan untuk seluruh umat-Nya.
“Bila bercakap tentang kecintaan dan kerinduan, ia boleh dikaitkan dengan pelbagai kisah yang pernah kita dengar.
”Setelah mengharungi satu perjalan yang amat jauh tanpa mengenal erti penat lelah ditemani air mata kerinduan dan akhirnya dapatlah ia melepaskan kerinduan dengan pelukan yang penuh dengan cinta kepada cinta hatinya,” ungkap Nomad.
Meskipun apa yang tersirat begitu mendalam, Nomad, 36, tidak mahu pendengar menjadikan ia sebagai satu perkara yang memberatkan sebaliknya lirik berkenaan juga boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian.
Jelas Nomad, Mengejar Cinta bukanlah sebuah karya yang rumit untuk difahami. Sebaliknya, ia kaya dengan maksud tersirat yang mempunyai pelbagai pengertian.
Bercerita mengenai pemilihan karya pula, Mengejar Cinta dicipta sebelum sebelum proses rakaman berlangsung. Pada awalnya Nomad mahu menjadikan lagu ini menjadi sebuah karya ‘fast song’ namun ia berubah apabila beberapa waktu kemudian.
“Bila saya dengar semula dan hayati semula liriknya, datang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semuanya bersatu. Perasan sedih, gembira dan bahagia bercampur baur dan membuatkan saya mahu memahaminya dengan lebih mendalam.
“Bila masuk proses rakaman, saya ambil masa selama dua jam untuk memahaminya. Padahal ini merupakan lagu ciptaan saya. Sebenarnya ada perasaan lain dirasai malam berkenaan. Mujur ada guru vokal yang membantu proses berkenaan,” tambahnya.
Mendapat bimbingan vokal daripada Afif Tirmizi dan Rudy Nastia yang bertindak sebagai penggubah muzik, mereka banyak membantu melicinkan proses rakaman dengan memberikan pelbagai input baharu.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu, ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi berkenaan. Perasaan luar biasa yang dihadapi ketika proses rakaman berkenaan membuatkan dia tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku.
“Sejujurnya saya hanya mahu pendengar menikmati buah tangan terbaru ini. Hasil tangan ini lebih matang jika mahu dibandingkan dengan karya-karya terdahulu.
“Sudah pasti saya bersyukur dan gembira dapat menghasilkan sebuah karya yang mengikut kematangan usia yang saya anggap sebuah cerita ‘kesedihan yang sangat bahagia’,” katanya yang masih aktif menyanyi.
Mengejar Cinta telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 16 Februari yang lalu.