Laman Utama
“Ini Yang Latest, 35 kg” - Berat Makin Susut, Elyana Mohon Doa Orang Ramai Untuk Jalani Radioterapi
Pelakon dan penyanyi Elyana memdedahkan dia kini mempunyai berat badan mencecah 35 kilogram (kg) selepas menderita penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.
Menerusi laman sosial Instagram, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal memuat naik foto berat badan terkininya itu untuk tatapan umum.
Berkongsi keadaan terkini, dia yang berada di hospital sedang menerima dua beg bekalan darah yang dimasukkan ke dalam badannya.
“Saya kena masukkan dua beg darah. Satu beg darah dalam tiga jam so dua beg darah dalam enam jam, sampai ke pagi. Lepas tu akan disambung dengan susu sebab saya tak cukup berat.
“Terima kasih kepada semua penderma darah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” tulis Elyana lagi.
Malah, difahamkan Elyana akan mula menerima rawatan radioterapi pada hari ini.
“Doktor tahu saya taknak buat kemoterapi jadi saya akan buat radioterapi di bahagian dada dan disebabkan saya selalu batuk, hati dan paru-paru saya agak bengkak sedikit.
“Harap semuanya berjalan lancar dan saya berharap korang semua dapat mendoakan kelancaran dan kesihatan saya, semoga cepat sembuh,” kata penyanyi Kalis Rindu ini lagi.
Sekitar Disember tahun lalu, Elyana memaklumkan kanser itu telah menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.
Terdahulu, Elyana membuat pendedahan mengenai penyakit kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.