Hiburan
“Inilah Yang Membuatkan Kami Sayang Negara Ini” - Black Eyed Peas Kenang Jasa Malaysia Bantu Tsunami Aceh 2004
Kumpulan muzik terkenal Amerika Syarikat Black Eyed Peas (BEP) melahirkan rasa cinta mereka pada negara Malaysia dengan cara yang cukup menyentuh hati.
Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna berkongsi sepotong video menunjukkan ucapan penghargaan kumpulan yang popular menerusi lagu My Humps, Pump It, Shut Up dan banyak lagi pada Malaysia.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Pada tahun 2004, ada bencana alam yang melanda Banda Aceh, Indonesia. Tsunami itu telah melenyapkan banyak nyawa. Pada Mac 2005, saya terbang ke Malaysia kerana pada waktu itu Malaysia sedang giat mengadakan bantuan bencana untuk disalurkan kepada Indoensia.
“Ketika itu saya melihat Malaysia, sebuah negara yang menjaga kebajikan negara jiran yang ditimpa musibah, inilah antara pengalaman indah yang dapat dirasakan apabila berada di sini ketika itu,” kata salah seorang anggota BEP, Will.I.Am.
Difahamkan kedatangan mereka di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu adalah bersempena majlis makan malam tahunan syarikat tambang murah terbaik dunia, AirAsia.
Menerusi video berdurasi kurang dua minit tu, dia turut terkesan dengan kejadian itu sehingga mendedikasikan lagu Where is the Love? kepada rakyat Malaysia.
“Itulah momen yang saya rasakan amat menyentuh hati, membuka fikiran dan saya ingin berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana membantu mereka yang memerlukan.
“Walaupun kejadian itu berlaku pada tahun 2005, perkara itu sangat indah dan membuat saya sedar, begitu besarnya rasa cinta yang dimiliki oleh negara ini,” ujarnya lagi.
Hasil tinjauan Gempak di laman sosial Twitter, rata-rata warganet turut tersentuh dengan ucapan ketua kumpulan BEP itu dan berharap BEP dapat membuat persembahan secara terbuka di Malaysia.
Video itu sehingga kini telah menerima hampir 170,000 tontonan dan 13,000 ulang kicau daripada warganet.