Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Insiden Dayang Topaz Rempuh Pelantar Minyak: Ini Yang Berlaku, Tali Sauh Terputus Ketika Ribut Dipercayai Puncanya

Mya Amri 27/10/2020 | 11:00 MYT
Kemalangan yang membabitkan kapal platform Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri awal pagi Selasa (27 Oktober 2020) ternyata mengejutkan ramai pihak.
Insiden itu melibatkan seramai 187 kru kapal termasuk 185 kru warganegara Malaysia dan dua warganegara Indonesia.
Di sini Gempak kongsikan perkembangan terbaharu insiden kapal Dayang Topaz.
1.Insiden membabitkan kapal platform Dayang Topaz yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada tali sauh yang terputus ekoran cuaca buruk sehingga menyebabkan kapal itu melanggar platform pelantar minyak, lapor AWANI.
2.Menurut pemangku Pengarah Bahagian Carilamat & Bantuan Bencana APMM Komander Suzanna Razali Chan, susulan kejadian itu seramai 125 kru terpaksa terjun menyelamatkan diri.
“Apabila rantai sauh putus, kapal tidak stabil. Tindakan mereka terjun dari kapal bertujuan untuk menyelamatkan diri. Mereka telah menurunkan rakit keselamatan. Selepas mereka terjun, mereka naik ke atas rakit tersebut,” jelasnya.
3. Dalam pada itu menerusi laporan terkini BERNAMA, kesemua mangsa kapal platform MV Dayang Topaz yang merempuh sebuah pelantar minyak di perairan Kuala Baram awal padi tadi, selamat tiba di Pelabuhan Miri pada jam 2.30 petang.
4.Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mangsa kemudiannya diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan.
“Mengenai dakwaan yang tular mengatakan seorang lagi anak kapal maut dalam insiden itu masih belum dapat disahkan dan sebuah helikopter PETRONAS diatur untuk membawa pegawai perubatan dan anggota polis ke pelantar minyak Baram B untuk mengesahkannya,” kata APMM dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, difahamkan kapal tersebut hampir karam sebelum kapten dan anak kapal berjaya mengawal keadaan di tengah-tengah keadaan cuaca buruk dan ombak tinggi.
Aduan pertama diterima oleh Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya kira-kira jam 6.45 pagi tadi dari kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.
Seramai 124 kru kapal berjaya diselamatkan manakala seorang mangsa meninggal dunia.
Empat mangsa yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan dalam keadaan selamat tidak jauh dari lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan lapan kapal dari Petronas dan Shell, sebuah helikopter dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sebuah pesawat dari National Search Coordination Centre Brunei.
Secara keseluruhan, terdapat 187 kru kapal termasuk 185 kru warganegara Malaysia dan dua warganegara Indonesia.
Sumber: Astro Awani & Bernama
#Insiden Kapal Dayang Topaz
;