Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Insulin Dalam Badannya Kosong” - Isteri Ako Mustapha Kongsi Momen Cemas Ketika Suami Dikejarkan Ke Hospital

Izwan Isa 04/08/2022 | 07:20 MYT

Isteri kepada pelakon Ako Mustapha, Kartina Shuaib mendedahkan yang suaminya kini berada dalam pemantauan doktor selepas dikejarkan dan dirawat di zon merah kritikal Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi.

Kartina berkata, kesihatan Ako merosot akibat ketiadaan insulin dalam badannya, sehingga menyebabkan saraf dan otot tubuh tidak dapat berfungsi.

A post shared by AkoMustaphaofficial_Tina (@akomustapha)

“Saya tiada di rumah sejak hujung minggu lalu, ada outstation. Ako di rumah dengan anak-anak, tetapi dia bekerja seperti biasa. Saya tidak tahu yang dia tidak ambil ubat kencing manis ketika ketiadaan saya.
“Jadi, ketika tiba di rumah pukul 3 pagi tadi, saya lihat wajah dia dah lain macam. Dia beritahu yang dia muntah selepas minum air dan sup. Apa sahaja yang masuk keluar balik. Saya cadang pergi hospital tetapi dia enggan.
“Kemudian bila bangun tidur, saya beri dia minum air dan sup, tetapi muntah lagi. Muka dia pula dah mula senget. Saya hubungi ambulans dan Ako terus dibawa ke HKL. Bila sampai HKL, Ako dimasukkan ke zon merah kritikal. Menurut doktor, insulin dalam badannya kosong dan disebabkan itu, saraf serta otot tidak dapat berfungsi,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Dalam pada itu, Kartina menambah, keadaan Ako tidak ada kena mengena dengan penyakit strok, tetapi disebabkan masalah diabetes yang dialami.
“Jadi doktor cakap bukan strok, tetapi sebab insulin tiada dalam badan. Dia sekarang dalam pemantauan dan doktor beri dia enam liter air serta glukosa beserta insulin.
“Doktor turut berkata yang mereka akan memantau Ako dalam tempoh 24 jam dengan harapan apa yang dimasukkan dalam badannya, tidak ditolak,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terkini, Kartina berkata yang Ako kini sudah boleh membuka mulut dan bercakap.
“Tadi ketika tiba di hospital, dia tak boleh bercakap, pernafasannya lemah dan kuantiti oksigennya menurun. Tetapi doktor di HKL sangat pantas melakukan kerja. Sekejap sahaja siap. Saya puji ketangkasan mereka.
“Selepas rawatan kecemasan yang diberikan, Ako sudah mula boleh mata boleh senyum,” katanya lagi.
Terdahulu pada Februari, Ako menerusi kemas kini Instagram memberitahu yang dia positif COVID-19.
Ako berkahwin dengan Kartina Shuaib pada 17 Januari 2009 dan pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata.

#HKL #Kecemasan #Insulin #Kencing Manis #Ako Mutapha #Kartina Shuaib
;