Hiburan
Isi Masa Lapang Sempena Cuti Sekolah, Coast Guard Anjur Pertandingan Video Parodi Terbaik
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang menganjurkan Pertandingan Video Parodi Terbaik daripada babak nashkah itu dengan menawarkan hadiah wang tunai selain bakal terpilih sebagai pemenang bertuah.
Pertandingan itu sempena cuti persekolahan yang baru mula dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menonton filem yang sarat dengan mesej itu bagi mengisi masa terluang mereka.
Menurut kenyataan pengedar filem itu, Metrowealth International Group, pertandingan itu terbuka kepada warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dalam melahirkan individu yang memiliki idea dan daya kreatif sendiri.
“Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk memupuk minat dan kreativiti masyarakat dalam filem tempatan yang bersifat patriotik dan memiliki perasaan tebal dan sayangkan negara.
“Selain itu, ia juga bertujuan mencungkil bakat penghasilan produk multimedia bergenre nilai murni universal serta memberi peluang kepada masyarakat Malaysia memahami tugas seseorang penguatkuasa.
“Pada masa sama, kami juga ingin mengajak kakitangan dan agensi kerajaan lain itu turut sama membantu menyokong filem yang dihasilkan satu agensi kerajaan lain,” katanya.
Tarikh tutup Pertandingan Video Parodi Terbaik itu pada 28 Februari 2023.
Mengetengahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjaga keselamatan perairan negara, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang sentuhan terakhir Allahyarham Pitt Hanif sarat dengan aksi mendebarkan yang pastinya menyentuh emosi untuk menarik penonton ke pawagam.
Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn. Bhd. dan Arie Zaharie Production tersebut menampilkan gandingan hebat dua pelakon hebat tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.
Karya yang turut mendapat kerjasama Maritim Malaysia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Hafiz Nafiah, Iman Zulkarnain, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.
Sementara itu, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang disokong Finas, Primeworks Studios dan Media Prima Berhad. mensasarkan filem ini kutipan sebanyak RM20 juta di pawagam dan kini melebihi RM5 juta.
Filem berkenaan ditayangkan di semua pawagam seluruh negara bermula 2 Februari lalu, termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.