Hiburan
Ismail Izzani Dedah Punca Dua Tahun 'Berehat' - "Sejujurnya Bukan Senang ..."
Penyanyi, Ismail Izzani mengakui setelah sekian lama menyepi dirinya lebih cenderung dalam melakukan refleksi diri dan perasaan sepanjang perjalanan karier bergelar anak seni.
Jelas Ismail atau nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri, 24, sepanjang dirinya rehat dari dunia industri ini banyak perkara yang dipelajari olehnya.
“Saya rasa dua tahun itu banyak sangat membantu saya dari segi mental, fizikal dan sebagainya sebab banyak sangat perkara yang berlaku,” katanya kepada Gempak.
Ismail Izzani berkata demikian ketika di majlis pelancaran The Imanpiano Experince 2.0 di Aquaria, KLCC pada Isnin.
Bukan mudah untuk kekal dalam industri muzik
Memulakan kerjaya sebagai anak seni pada usia muda, penyanyi yang terkenal dengan lagu Luar Biasa mengakui bahawa tidak mudah untuk bertahan dalam industri muzik kerana perlu mempelajari banyak perkara bagi kekal relevan.
“Saya juga mulakan kerjaya seni nyanyian saya sejak usia saya 17 tahun lagi. Secara jujurnya, bukanlah senang untuk berada di tempat itu dengan kehadiran dan orang sekeliling yang ada ketika saya sangat-sangat muda.
“Banyak lagi benda yang saya perlu belajar dan sebagainya,” jelasnya.
Rancang semula kerjaya nyanyian
Pada masa yang sama, Ismail Izzani turut berkongsi sepanjang tempoh berehat dari dunia industri, dia mula merancang semula kerjaya nyanyiannya kerana terdapat segelintir netizen yang keliru dengan kerjayanya.
BERITA TRENDING: Selepas Samudera Aisha Retno Kembali 'Terbang', Eksplorasi R&B dan Pop Jazz
BERITA TRENDING: Ubati Kerinduan Peminat, KRU Muncul Dengan Konsert Berskala Besar Mei 2025! - "Pasti Akan Ada Banyak Kejutan"
BERITA TRENDING: Demi Menjiwai Watak, Shiqin Kamal Sanggup Ambil Guru Lakonan - “Sebelum Ini Saya Tak Pernah…”
BERITA TRENDING: Ummi Nazeera Puji Lakonan Mimi Lana dan Alicia Amin Dalam Andai Tiada Dia - “Cara Mereka Berdua Berbeza”
Oleh itu, penyanyi itu mahu membina semula karier nyanyiannya pada tahun hadapan dengan menghasilkan karya yang lebih hebat.
“Dua tahun tersebut membantu saya merancang semula kerjaya nyanyian dan menentukan arah tuju sebenar.
“Saya kecewa apabila orang keliru sama ada saya seorang pelakon atau penyanyi, kerana saya memulakan kerjaya dalam bidang muzik dan mahu dikenali sebagai seorang penyanyi.
“Impian saya tahun 2024 ini adalah untuk mula balik karier muzik dan pada tahun depan, kita akan cuba hasilkan karya muzik kepada orang ramai,” kongsinya.