Laman Utama
Isu Bayaran Model KLFW Selesai, Akhirnya Perjuangan Alicia Amin Berhasil; “Walaupun Ada Syarikat Guaman Menawarkan…”
Lega… itulah perasaan pelakon dan model Alicia Amin apabila perjuangannya membantu rakan dalam bidang peragaan dalam isu bayaran tertangguh akhirnya berjaya.
Biarpun masih ada beberapa rakan masih menunggu namun Alicia tetap bersyukur ramai dalam kalangan mereka sudah menerima bayaran yang sepatutnya.
"Saya rasa lega apabila perjuangan saya terhadap model-model dalam industri fesyen akhirnya menerima maklum balas positif. Lapan individu yang datang bertemu saya sebelum ini sudah menerima bayaran.
"Namun berbaki tiga model saja yang belum dibayar dan pihak penganjur berjanji untuk menyelesaikan pada hujung bulan ini.
"Walaupun ada syarikat guaman yang menawarkan kepada saya untuk membawa isu ini di mahkamah, tapi saya berbincang secara baik dengan penganjur sekiranya bayaran tidak dilunaskan segera," katanya kepada Gempak.
Alicia ditemui ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rasuk di GSC Tropicana Mall, Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Sebelum ini, Alicia muncul membawa sepanduk di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW2022) di hadapan Pavilion bagi membantu rakan model mendapatkan bayaran tertangguh.
Menurut Alicia lagi, dia tidak mengambil hati apabila model lain enggan bersama-sama melakukan ‘mogok’ kerana masih mencari rezeki dalam bidang peragaan.
"Ketika saya terbabit dalam KLFW 2022 dan ke ruangan belakang pentas ramai model yang berterima kasih kerana mereka sudah menerima bayaran pada penganjuran tahun ini.
"Saya ada rasa serba salah kerana pernah bekerja dengan penganjur itu tapi saya pernah ajaknya berbincang sebelum ini, cuma tiada tindakan dibuat. Disebabkan itu saya nekad membuat 'mogok' pada acara itu.
"Saya ada ajak model lain untuk sertai mogok bersama tapi hanya saya seorang saja turun. Saya faham dan tak salahkan mereka pun. Sebab mereka masih perlu mencari rezeki dalam bidang itu,"katanya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!