Berita
Isu Foto Lambung & Terima Bayaran Mahal, Ini Jawapan Fasha Sandha...
Pelakon cantik, Fasha Sandha menutup mulut isu berkenaan sekeping foto yang dimuat naik di laman Instagram miliknya beberapa hari lalu.
Foto yang memaparkan Fasha dilambung oleh tunangnya, aktor Aidil Aziz mendapat perhatian dan dikritik segelintir netizen.
"Maaf, saya tiada komen.... No comment," kata Fasha ringkas.
Biarpun Fasha ada menjawab beberapa komen netizen di entri terbabit, Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017 ini enggan terus memberikan kenyataan.
Ibu kepada dua cahaya mata comel ini selesa tidak memberikan komen lagi terhadap isu yang melibatkan foto terbabit.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai khabar yang mengatakan dirinya menerima tawaran lumayan bagi menjayakan projek Fasha Sandha x Bizzi Boddy AS Legacy, pemerima trofi Anugerah Bintang Popular BH sebanyak lima kali ini memberikan jawapan serupa.
"Maaf, no comment juga," jawab Fasha.
Pemenang Bintang Filem MeleTOP Anugerah MeleTOP ERA 2017 ini ditemui di majlis sambutan ulang tahun Datuk Seri Siti Nurhaliza #SitiGolden40th di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Fasha kini sibuk di set penggambaran drama bersiri terbaru, Patah Sayap Bertongkat Paruh yang bakal bersiaran di slot Megadrama.
"Alhamdulillah, saya menerima peluang demi peluang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Astro dan pihak Zeel Production kerana memberikan tawaran untuk menjayakan projek ini.
"Sukar untuk saya mengatakan tidak kepada naskah ini kerana skrip dan jalan ceritanya yang baik. Berlakon di bawah arahan pengarah Along Kamaludin, saya bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz dan ramai lagi pelakon berbakat," katanya mengakhiri perbualan.