Laman Utama

Isu Kanak-Kanak Didera Kekasih Ibu, Elisya Sandha Harap Suspek Diberkas - “Kau Memang Jantan Tak Guna! Dera Anak Orang!”

Asyikin Mayudin
11/06/2023
12:50 MYT
Sponsor Banner
Isu Kanak-Kanak Didera Kekasih Ibu, Elisya Sandha Harap Suspek Diberkas - “Kau Memang Jantan Tak Guna! Dera Anak Orang!”
Kecoh di laman sosial mengenai kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai dipukul oleh kekasih kepada ibunya.
Menerusi laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, anak perempuannya itu dipercayai dipukul oleh lelaki terbabit menggunakan penyangkut baju dan ditampar di muka hanya kerana membuat bising.
Kes tersebut telah menimbulkan rasa marah dalam kalangan masyarakat malah turut menarik perhatian pelakon, Elisya Sandha.
Elisya menerusi perkongsian di Instagram Stories (IG Story) miliknya meluahkan rasa berang terhadap lelaki itu dan berharap agar individu tersebut berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa.
“Kau memang jantan tak guna! Dera anak orang! Tolong la cari dia ni dan pastikan lelaki ini masuk dalam (penjara) sampai dia mampus!” tegasnya.
Sementara, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui dia turut terkesan dan berasa sedih dengan nasib yang menimpa kanak-kanak berkenaan.
“Ya Allah, tak boleh tengok benda macam ini (kes penderaan). Kesiannya awak sayang, sakitnya hati tengok,” luahnya.
Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu, ibu kepada mangsa berkata dia sudah berusaha melindungi anaknya namun gagal.
Akibat perbuatan agresif lelaki terbabit, mangsa yang baru berusia setahun 11 bulan itu mengalami kecederaan pada bibir dan mata serta badannya dipenuhi kesan lebam.
Kedua-dua beranak ini kemudian dihantar pulang ke rumah keluarga di Setapak Jaya oleh lelaki tersebut tetapi siapa sangka, lelaki itu kemudian melarikan diri selepas menyedari kehadiran kereta peronda polis.
Sementara itu, menurut laporan Berita Harian, polis sedang memburu suspek, 31, dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan, kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ditemani ibunya untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024