Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Isu Pengadil: FAM Hantar Surat Bantahan Kepada AFF

Gempak 30/12/2022 | 06:25 MYT

Isu kontroversi pengadil Jepun, Ryuji Sato ketika aksi Malaysia menentang Vietnam di Hanoi Selasa lalu sudah sampai ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sudah menghantar surat rasmi kepada badan induk itu pada Khamis.

Ia bagi meluahkan ketidakpuasan hati mengenai mutu pengadilan ketika perlawanan Kumpulan B, Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh yang menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 0-3 kepada tuan rumah.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, tindakan itu dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram.

Katanya, jawatankuasa berkenaan sudah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden sepanjang perlawanan tersebut.

"Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan sudah pun dihantar kepada Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi (Khamis).

"Ia bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu," katanya.

Sato dikecam hebat oleh peminat Harimau Malaya ekoran beberapa keputusannya pada perlawanan itu terutama apabila memberikan penalti kontroversi kepada Vietnam pada minit ke-59. - Sinar Harian

#FAM #Ryuji Sato #AFF #Isu pengadil
;