Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Isu Sajat: Ustaz Kazim Elias Beri Nasihat, Alicia Amin Minta 'Leave Sajat Alone'

Asraf Aided 06/03/2021 | 07:55 MYT
Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias atau Ustaz Kazim menasihati orang ramai untuk menegur dan menasihati saudara Islam dengan baik dan beradab.
Perkara itu adalah berkaitan isu usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman menerima pelbagai tomahan di media sosial baru-baru ini hingga menerima ugutan bunuh.
Sajat pada Selasa berkongsi sebuah video seakan-akan mengatakan dia mahu keluar dari agama Islam.
"Bukanlah hak kita untuk menghukum orang kerana kita adalah dai (pendakwah) yang mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan dakwah.
"Tegurlah dia dengan berhikmah kerana kita juga tak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti, hendaknya kita juga diberikan hidayah.
"Lebih baik netizen menngunakan media sosial untuk perkara baik, jangan pula nanti pihak-pihak lain menuduh Islam sebagai agama ganas dan tiada toleransi disebabkan tindakan seperti ini," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo.
Pada masa yang sama, Ustaz Kazim turut menasihati Sajat agar menerima kenyataan dengan hati terbuka dan bertaubat selagi punya kesempatan.
Ustaz Kazim juga menasihati usahawan itu untuk kembali kepada fitrah sebenar dirinya sebagai seorang lelaki, bukan wanita atau khunsa.
Sementara itu, pelakon Alicia Amin juga tampil menyuarakan pendapatnya berhubung isu terbabit.
Menurut Alicia, dia membantah tindakan orang ramai yang mengecam hingga mengugut untuk membunuh Sajat.
"Saya pertahankan hak asasi manusia, mana boleh suka hati nak bunuh orang, benda tu boleh masuk penjara kan?
"Anda boleh setuju atau tidak bersetuju dengan gaya hidup atau keputusan seseorang tetapi belajarlah jadi manusia.
"Tak kiralah apa bangsa, agama atau jantina seseorang, semua orang berhak memiliki hak asas, Sajat tak cabut orang atau curi duit rakyat, Sajat takda pertuduhan rogol, Sajat buat hal sendiri dan orang ugut untuk bunuh dia," tulisnya di Instagram Story.
Alicia juga menjelaskan, dia bukanlah menentang Islam, sebaliknya dia menentang amalan 'double standard' dan ugutan bunuh.
"Saya bukan tentang Islam, saya menentang 'double standard' dan ugutan bunuh," tulisnya lagi.
Dalam video Sajat yang tular itu, dia meluahkan hasrat seolah-olah mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan tindakan orang sekeliling dan kejadian yang menimpa dirinya.
Difahamkan, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini telah mengesan Sajat bagi melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selasa lalu.
#Alicia Amin #sajat #Kazim Elias #Agama
;