Hiburan

Isu Tanah Milik Keluarga Selesai, Amar Baharin Tunggu Tanah Ganti

Khairil Khusyairi
18/12/2024
11:50 MYT
Sponsor Banner
Isu Tanah Milik Keluarga Selesai, Amar Baharin Tunggu Tanah Ganti
Pelakon Amar Baharin memaklumkan status hak milik tanah ibunya di Semenyih yang berlarutan sejak 13 tahun lalu sudah selesai.
Menurut Amar, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor bagi isu pertindihan tanah tersebut dan sedang menunggu tanah ganti.
“Kami telah dipanggil dan berbincang dengan pejabat tanah. Ada satu surat yang kami tandatangan untuk tidak berkongsi cerita kepada umum. Sebab itu saya mengambil pendirian untuk berdiam diri.
“Ada satu tanah yang bakal digantikan ini masih belum ‘clear’ dan sekarang saya masih menunggu tanah itu ‘clear’ dari nama kerajaan. Baru dia bagi tanah itu sebagai tanah ganti.
“Isu ini sudah selesai dan mereka sudah jelaskan bagaimana perkara tersebut boleh terjadi,” katanya kepada pemberita.
Amar ditemui pada sidang media drama Berbahagi Suami di The Fleur, Kuala Lumpur, petang tadi.
Dalam pada itu, Amar turut menjelaskan isu tersebut tidak membabitkan isu seperti rasuah dan penyelewengan.
Dalam masa sama, pelakon drama Berbahagi Suami itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam isu tersebut.
“Isu ini tidak membabitkan pihak polis ataupun rasuah dan sebagainya. Kami faham dan tidak menghebohkan perkara ini.
“Saya nak mengucapkan terima kepada pihak media yang memberikan liputan mengenai perkara ini kerana sedikit sebanyak ia membuka mata pihak atasan terhadap masalah rakyat yang banyak sangat terjadi.
"Ramai tak tahu sumber dan jalan mana yang mereka nak ambil, jadi apa yang saya boleh kongsi adalah pergilah ke jalan yang betul dan tunggu tindakan susulan apa yang mereka boleh buat," katanya.
Terdahulu, Ammar menuntut penjelasan PTG Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya di Semenyih yang dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain secara tidak sah.
Difahamkan, tanah di kawasan berkenaan bukan sahaja membabitkan ibu Ammar Baharin, malah enam atau tujuh pemilik lain.
Dalam perkongsian menerusi akaun X dan Instagram, dia mendedahkan kejadian itu disedari keluarga ketika bapanya masih hidup, apabila meninjau kawasan tanah untuk diusahakan. Mereka terkejut apabila mendapati sebuah rumah sudah dibina di situ.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengulas isu itu kemudian, memaklumkan tanah terbabit sudah diratifikasi semula sebelum ini dan ia bukan kes pertama. Kebanyakan kes disebabkan perekodan yang dibuat secara manual sebelum ini.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah berkata semua pemilik tanah di kawasan berkenaan sudah dipanggil bagi sesi pendengaran termasuk ibu pelakon berkenaan.
Dr Yusri juga menyatakan isu membabitkan ibu Amar itu berpunca dari segi teknikal membabitkan pertindihan hak milik tanah antara beberapa pemilik tanah di kawasan itu.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024