Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Jadi Filem Terakhir, Rindu Kehebatan Allahyarham Adibah Noor Terubat Dalam Eraser

Maliah Surip 02/06/2023 | 11:27 MYT

Rindu kepada orang yang telah pergi memang tidak berpenghujung. Namun ia sedikit sebanyak akan terubat jika ada kenangan yang masih ditonton sebagai pengubat rindu.

Mungkin perasaan itulah yang sesuai digambarkan terhadap filem baru yang akan ditayangkan di platform Prime Video mulai 1 Jun 2023 dan tersedia di seluruh Asia Tenggara, Eraser.
Filem arahan Mark Lee See Teck ini menjadi cenderahati terakhir daripada pelakon seni berprofil tinggi yang telah pulang ke Rahmatullah pada 18 Jun 2022, Allahyarham Adibah Noor. Adibah sendiri cukup ikonik dengan karya berbentuk perpaduan seperti penglibatannya dalam filem Mukhsin.
Lakonan Adibah yang bersahaja namun mengesankan akan terubat dengan menonton Eraser yang turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat termasuk Nam Ron, Angela Chan, Dhiya Ariffin dan Alyssa Lee.
Eraser terjemahannya dalam bahasa Melayu bermaksud Pemadam atau hapus mempunyai simbolik tersendiri untuk difikir dan diterima dengan hati terbuka oleh seluruh penonton berbilang bangsa di negara kita.
Pemadam Bendera Malaysia pula dijadikan metafora jika tiada perpaduan, negara akan ‘lenyap’ perlahan-lahan.
Dihasilkan dalam durasi 94 minit dengan genre drama, kekeluargaan dan romantik, Eraser yang ditulis oleh Mark Lee, Tang Yen Yen dan Siti Jasmina Ibrahim ini adalah sebuah naskhah ‘Malaysia’ yang bermula dengan kisah keluarga yang porak peranda namun bertahan dalam kerasnya kehidupan. Ia turut menampilkan konflik di mana jika pergeseran terus berterusan di antara kaum, maka tiada perpaduan dapat dibentuk.
Satu-satunya faktor yang membuat cabaran menjadi lebih hebat apabila Eraser digarap sewaktu pandemik COVID 19 melanda dunia.
“Kekangan dan cabaran yang kami lalui adalah Eraser dihasilkan sewaktu pandemik COVID 19 melanda dunia.Kami perlu memastikan semua kru berada dalam keadaan sihat dan mengamalkan SOP yang ketat supaya tiada penularan wabak berlaku di set penggambaran.
“Dan terus terang, pembikinan filem pada musim pandemik membuatkan kos bertambah, ini termasuk lima sehingga 10 peratus kos digunakan untuk memastikan keselamatan semua terjamin.
“Bagaimanapun pihak kami bersyukur kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang 20 hari penggambaran dijalankan,” ujar penerbit, Mandy Yap.
Pihak penerbit pula menyifatkan walaupun berdepan dengan kekangan sepanjang pandemik, namun mereka percaya setiap kesukaran akan terbalas dengan sesuatu yang berharga sehingga Eraser mampu disiapkan dan kini bersedia untuk tontonan umum.
Sementara itu, pengarah Mark Lee mengatakan produksi tidak berdepan banyak kekangan untuk menukar format filem pendek dengan durasi tiga minit kepada sebuah naskhah menelan masa tayangan 94 minit.
Mereka berjaya menghasilkan Eraser seperti yang diinginkan dengan menjadikan ‘cinta’ sebagai asas yang tidak boleh ditinggalkan dalam naskhah ini.
“Eraser adalah kisah kembara keluarga yang porak peranda namun bertahan kerana kasih sayang yang tidak berbelah bahagi walaupun berbeza keyakinan agama.”
“Ia membuktikan dengan kasih sayang dan cinta, tanpa perbezaan jantina, bangsa atau agama. Sifat kemanusiaan mengatasi segalanya,” kata Mark Lee.
Eraser yang mengisahkan tentang Ahmad, anak kepada pembuat batu nisan, Azman mempunyai impian besar untuk memberi kesenangan kepada keluarga yang berdepan dengan cabaran apabila Xiao Li, gadis yang didera hadir bersama ibunya, Ah Yoke dalam hidup mereka.
Keluarga Ahmad menerima kedua beranak tersebut dengan tangan terbuka, menyediakan tempat berteduh, namun hidup tidak mudah bagi Xiao Li apabila dirinya dibuli di sekolah.
Namun kehidupan Xiao Li dan Ahmad berubah selepas mereka menyertai Pertandingan Seni Peringkat Kebangsaan yang mengusung tema Wawasan 2020.
Apakah kesudahan Eraser edaran MyContent ini? Saksikan filem ini di platform Prime Video mulai 1 Jun 2023 dan tersedia di seluruh Asia Tenggara.

#Filem #Adibah Noor #Nam Ron #Eraser #Mark Lee See Teck
;