Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Jadikan Bapa Muse Catwalk, Pemilik Jenama Fesyen Streetwear SVG Worldwide Gembira Rai Anniversary Ke-5! Siap Ada Gimik WWE

Shahrin Zulkifle 13/12/2022 | 12:00 MYT

“Bermula daripada sebuah angan-angan, kemudian diterjemahkan kepada sebuah lakaran sampailah ia menjadi sebuah realiti, Alhamdulillah”.

Demikian kata-kata pemilik jenama fesyen streetwear tempatan popular, SVG Worldwide iaitu Muhammad Ashraf Khairul Anuar yang berbangga melihat jenama tersebut berjaya meraikan ulang tahun kelima dalam sebuah majlis yang cukup meriah, “5+1 Anniversary Party” baru-baru ini.

Tema anniversary WWE

Memilih konsep perlawanan gusti (WWE), Ashraf berkata ia adalah sesuatu kelainan yang cuba dibawa untuk meraikan ulang tahun jenama SVG selain menggabungkan elemen fesyen dan muzik dalam satu pentas serta bertujuan menghargai peminat setia jenama SVG.

“Event hari ini bagi meraikan ulang tahun kelima SVG Worldwide bertapak dalam industri fesyen di Malaysia. Sambutan ini juga bertujuan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua peminat setia brand SVG.

“Tema sambutan ulang tahun ini agak berlainan di mana kami membawakan mood ala-ala WWE. Saya lihat ini adalah sesuatu perkara yang baru yang tak pernah dilakukan iaitu menggabungkan fesyen dan muzik bersama mood wrestling,” katanya kepada Gempak.

Antara jenama yang turut memperagakan koleksi mereka di pentas runway termasuklah Rework Worldwide, Defect.my, RYW, Kata Jantan dan SVG + KRTKL.

Majlis yang berlangsung di Homebois Pitstop, Petaling jaya itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi seperti, Alyphland , Sophiarazk & DC Willie, Force Park Bois, Gard Wuzgut dan ramai lagi.

Malah, bertambah seronok lagi apabila penonton yang hadir turut dikejutkan dengan persembahan istimewa daripada band yang berasal dari Jepun, ALI Band.

Jualan tiket melebihi jangkaan!

Dalam pada itu, Ashraf turut memaklumkan penjualan tiket yang berjaya terjual adalah diluar jangkaan lantas membuat dia dan pasukannya jelas tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan syukur melihat kejayaan majlis pertama yang dianjurkan mereka sendiri tanpa sebarang tajaan.

“Antara cabaran yang boleh dikongsikan ialah projek ini mengambil masa lebih kurang lapan bulan perancangannya. Namun apabila melihat hasil kerja keras saya dan team hari ini berjaya, Alhamdulillah bersyukur sangat.

“Ini juga event pertama SVG sendiri tanpa mana-mana sponsor. Melihat kepada sambutan yang ada hari ini sangat-sangat memberangsangkan, sebab tiket yang pihak saya anggarkan hanya 500 sahaja, tapi yang terjual lebih daripada 1000 tiket, lebih daripada jangkaan. Happy sangat,” tambahnya.

Ayah tulang belakang Ashraf

Sebagai seorang anak, Ashraf tidak menafikan kejayaan jenama SVG yang berjaya melakar pelbagai sejarah hingga kini adalah berpunca daripada semangat ayahnya, Khairul Anuar Anas.

“Ayah adalah tulang belakang saya daripada jenama SVG ini mula betapak lagi. Jika ada yang perasan dulu ayah pernah jadi model untuk photoshoot saya sampailah hari ini dia masih bersama saya.

“Jadinya event ini juga untuk menghargai ayah saya dan orang-orang yang bersama saya naikkan SVG, sebab itu tadi ayah jalan di pentas runway. Dia sangat sporting, sentiasa support saya. Terima kasih ayah, Anuar Anas,” kongsinya lagi.

Impian berjaya direalisasikan

Sementara itu, bertindak selaku Pengarah Projek, Muhammad Fridaos Ahmad Hanafi berkata dia berasa puas dan berbangga apabila berjaya merealisasikan impian Ashraf untuk menganjurkan sebuah majlis ulang tahun yang istimewa.

“Bila saya tengok hasilnya hari ini daripada bermulanya planning, meeting dan dealing dan sampai ke hari event, apa yang saya boleh gambarkan hanyalah smiling.

“Siapa sangka Ashraf yang dulunya client saya sekarang kami berdua jadi kawan dan saya berbangga dapat merealisasikan impian dia dan terima kasih kerana percayakan saya.

“Idea nak mood wrestling WWE daripada Ashraf, saya kata pada dia kalau sekadar nak buat anniversary dan persembahan ia akan jadi boring. Saya beritahu at least kena ada gimik, maka daripada situ kami kaji bersama macam mana nak buat sesuatu yang unik, sehingga yang dilihat hari ini, itulah hasilnya,” ujarnya.

#Viral #Konsert #Fesyen #Streetwear #SVG Worldwide
;