Laman Utama

Jalani Rawatan Kimoterapi Kanser, Mark Hoppus Blink 182: "Sekurangnya Tak Macam Zombie Lagi"

Maliah Surip
30/06/2021
07:20 MYT
Sponsor Banner
Jalani Rawatan Kimoterapi Kanser, Mark Hoppus Blink 182: "Sekurangnya Tak Macam Zombie Lagi"
Minggu lalu pemain bass dan vokalis kumpulan terkenal Blink 182, Mark Hoppus mengumumkan dirinya sedang bertarung dengan kanser dan menjalani rawatan kimoterapi sejak tiga bulan lalu.
Hoppus yang mengumumkan khabar tak enak itu menerusi cuitan di Twitternya juga memberitahu dia sedang menjalani rawatan termasuk kimoterapi dalam usaha 'membunuh' penyakitnya.
Terkini, Hoppus menyapa peminat dengan memberitahu mengenai kondisi kesihatannya selepas menjalani rawatan kimoterapi.
"Bagaimana keadaan saya hari ini? Saya berasa lebih sihat dari semalam. Semalam seperti mimpi buruk dan hari ini memang lebih baik.
"Saya bangun, bersiar siar, menikmati sarapan dan tidak berasa ingin muntah. Jadi saya anggap ini sebagai satu kemenangan," ujar Hoppus seperti dilaporkan Kerrang.
Dia juga mengatakan, pertama kali melakukan aktiviti bersiar siar di luar rumah selepas lebih lima hari tidak melihat 'dunia'.
"Ini adalah pertama kali saya keluar rumah selepas lima hari terperap. Biasanya selepas menjalani kimoterapi saya akan lemah dan hanya terbaring di sofa, tapi kali ini tidak.
"Walaupun masih tidak boleh keluar lebih jauh, sekurangnya saya tak rasa seperti zombie lagi. Saya ingin keluar makan dan bertemu kawan kawan tapi tidak boleh kerana sel darah putih terlalu rendah.
"Jadi saya tidak boleh ke mana mana, dan saya terima itu," kata lelaki berusia 49 tahun itu lagi.
Meski demikian, Hoppus tetap bersemangat dan yakin akan bebas kanser. Dia malah memasang azam untuk kembali bertemu peminat dalam rangka konsert Blink 182 bersama Travis Barker dan anggota lain.
"Saya masih akan menjalani rawatan untuk beberapa bulan ke hadapan lagi. Saya tidak sabar bebas kanser. Semoga boleh bertemu anda semua dalam konsert nanti," katanya yang mendapat sokongan daripada rakan lain termasuk anggota Good Charlotte.
Untuk rekod, Blink 182 menjadi sangat popular dalam kalangan peminat muzik rock punk dan para era kegemilangan mereka, band Amerika Syarikat ini pernah menjual salah satu album mereka sebanyak 50 juta unit di seluruh dunia.
Kredit Foto: NME
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar