Laman Utama

Jamal Abdillah Lega Dapat Saman PRISM – “Lagu Dimainkan Di Radio Tapi Tiada Royalti”

Gempak
01/06/2023
09:44 MYT
Sponsor Banner
Jamal Abdillah Lega Dapat Saman PRISM – “Lagu Dimainkan Di Radio Tapi Tiada Royalti”
Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, 64, melahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pengiat seni memfailkan saman ke atas Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM).
Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali menganggap keputusan itu juga adalah satu amaran kepada pihak badan pelesenan lain agar lebih telus dalam melaksanakan tugas dan memberi kesedaran kepada penggiat seni untuk terus mempertahankan hak demi generasi pada masa akan datang.
"Syukur, Alhamdulillah apa yang saya dan peguam usulkan mendapat kebenaran mahkamah untuk mengenal pasti bagaimana kutipan royalti diambil dan diagihkan.
"Dengan ini, kami dapat mendesak pihak yang terbabit agar lebih telus. Melalui cara ini juga isu royalti tidak akan berlanjutan kepada generasi akan datang.
"Ya, sepatutnya apa yang berlaku hari ini memberi kesedaran kepada pelbagai pihak dan badan yang terbabit dengan kutipan royalti agar lebih telus dan jelas.
"Saya percaya ini adalah langkah terbaik untuk masa hadapan artis dan industri muzik. Kami mahukan sistem 'ketelusan'," katanya ketika ditemui selepas mahkamah membenarkannya dan 32 artis lain memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat PRISM Berhad di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tengahari tadi.
Jamal bersama 32 penggiat seni terdiri daripada penyanyi dan pemuzik diwakili peguam, Datuk Kamaruzaman Arif dari Tetuan Kamaruzaman Arif dan Sofiah hadir untuk satu sesi hujahan di bawah Seksyen 471 Akta Syarikat 2016 bagi isu pembayaran dan pengurusan royalti di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Murad Abd Aziz di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk Malek Ridzuan, Aris Ariwatan, Zahar Spring, Tajul FTG dan komposer Man Senoi.
Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir ini turut meluahkan rasa hairan apabila menerima bayaran royalti, namun tidak disertai dengan maklumat terperinci mengenainya.
"Bayaran dibuat sebelum ini hanyalah selepas kes ini difailkan, namun kami tidak tahu perincian mengenai bayaran. Tahu-tahu sahaja duit sudah masuk dalam akaun.
"Namun butiran bayaran termasuklah mana kutipan dan bagaimana kiraan, semuanya kami tidak dimaklumkan.
"Secara ringkas, kami mahu tahu bagaimana cara kutipan dan agihan agar anak seni tidak tertindas pada masa akan datang," tegas penyanyi bervokal mantap ini.
Sementara itu, Kamaruzaman berkata, keputusan mahkamah hari ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli PRISM, tetapi ia membuka lembaran baharu dan menjadi penanda aras buat penggiat seni lain.
Kamaruzaman berkata, pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap PRISM Berhad secepat mungkin bagi mengetahui bagaimana pengiraan royalti dibuat kerana ia membabitkan wang amanah.
"Kita tahu wang royalti ini dikutip antara 2017 dan 2018. Namun, bagi tahun seterusnya tiada maklumat sama ada wang dikutip atau tidak.
"Keputusan hari ini sangat menggembirakan dan ia adalah pasca baru untuk dunia hiburan. PRISM Berhad perlu memberi penjelasan kepada mahkamah mengapa artis-artis tidak mendapat bayaran royalti, sedangkan lagu dimainkan di radio," katanya.
Pada 13 September 2022, seramai 32 penggiat seni memfailkan satu notis usul berserta afidavit sokongan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman menuntut pembayaran royalti daripada PRISM Berhad selaku badan berlesen yang mengutip royalti antara 2017 sehingga 2021.
Tindakan ini julung kali dibuat penggiat seni tanah air, sekali gus melambangkan penyatuan dalam menuntut hak di bawah Akta Hakcipta 1987.
Di bawah Seksyen 3 Akta Hakcipta 1987, penggiat seni dikategorikan sebagai pelaku yang layak untuk menuntut hak royalti terhadap persembahan muzik seni mereka berdasarkan perundangan.
Artikel 3.2, Bab 6 Perlembagaan PRISM Berhad menyebut bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan sekali setahun.
Sumber: Berita Harian
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar