Laman Utama
Jamal Yunos Keluar Hospital, Bebas Kanser Paru-Paru Tahap 4 - "Kesihatan Merudum Sebab Beban Tugas Yang ..."
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos disahkan selesai menjalani rawatan dan dibenarkan discaj dari hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook turut memaklumkan dirinya pulih sepenuhnya dari penyakit kanser paru-paru tahap empat yang dihidapi sebelum ini berdasarkan pemeriksaan susulan oleh pihak hospital.
"Alhamdulillah, saya sudah selesai menjalani rawatan dan dibenarkan discaj dari hospital Prince Court Kuala Lumpur pada tengahari ini.
"Pegawai Perubatan yang merawat saya telah mengesahkan kesihatan tubuh badan saya kembali normal seperti sediakala dan sihat untuk bertugas.
"Saya juga telah disahkan pulih sepenuhnya dari penyakit Kanser Paru-paru Tahap 4 yang saya hidapi sebelum ini berdasarkan pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh pihak hospital," tulisnya.
Menurutnya, keadaan kesihatan yang merudum sejak Sabtu lalu adalah disebabkan beban tugas terlampau seperti menghadiri hampir 20 program dalam masa dua hari.
"Keadaan bertambah buruk lagi apabila saya didapati terkena keracunan makanan di dalam salah satu majlis tersebut sehingga menyebabkan saya pitam.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak dan individu yang sudi melawat dan mendoakan kesihatan saya sepanjang terlantar di hospital," katanya pada Rabu.
Baru-baru ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dikejarkan ke hospital selepas rebah dalam satu program parti itu di Sungai Besar pada Sabtu malam.
Jamal yang juga baharu sahaja pulih dari penyakit kanser paru-paru dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.