Laman Utama
"Jangan Budayakan Jenaka Lucah" - Ustazah Asma' Harun
Pendakwah bebas Ustazah Asma' Harun tampil menegur tindakan sekumpulan lelaki yang menghadiahkan barangan tidak senonoh kepada pasangan pengantin seperti yang tular baru-baru ini.
Pinta Ustazah Asma' agar budaya untuk jenakakan lucah seperti yang dilakukan kumpulan lelaki itu tidak sepatutnya diamalkan.
"Allahu Akbar. Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi bila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu.
"Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat.
"Budaya memberi hadiah di pelamin sekarang menjadi satu trend, namun tak seharusnya diikuti jika tujuan untuk publisiti dan maruah digadai. Berbaloikah?
"Tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin bahagiakan kawan ketika jadi raja sehari, tapi bila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditontonkan pula secara terbuka di media sosial sebenarnya memang sangat melampau." tegurnya.
Ustazah Asma' turut berkongsi tujuh adab ketika menghadiri majlis perkahwinan untuk dijadikan pedoman dan panduan:
1. Wajib Hadir Apabila Dijemput
Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.
2. Niat
Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.
3. Menutup Aurat
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan sama ada lelaki atau wanita, kerana pakaian yang tidak sopan menyebabkan orang sekeliling terganggu dan mendatangkan dosa jika tidak menutup aurat.
4. Menjaga Adab-adab Makan
Islam agama yang sangat indah, banyak panduan yang diberikan termasuk adab ketika makan.
5. Memberi Hadiah
Hadiah adalah satu bentuk atau tanda kasih sayang daripada seseorang kepada seseorang, ia dituntut dalam Islam dan merupakan sunnah baginda Nabi SAW kerana memberi hadiah dapat menghilangkan dendam dan eratkan silaturrahim dengan lebih mendalam.
6. Mendoakan Kebahagiaan Pengantin
Mungkin kebiasaan apabila kita hadir majlis kenduri adalah untuk makan dan bergambar bersama pengantin, namun mari kita contohi tindakan Rasulullah SAW ketika menghadiri majlis perkahwinan, Baginda akan mendoakan pengantin tersebut.
7. Mendoakan Tuan Rumah Kerana Memberi Makan
Selain mendoakan pengantin, panjangkan juga doa kita kepada tuan rumah yang telah bersusah payah untuk hidangkan makanan buat semua tetamu yang hadir, mudah-mudahan mereka mendapat keberkatan dan kebaikan.