Viral
"Jangan Ikut Artis Tak Berpengetahuan, Tak Bertauliah" - Perlekeh Selebriti, Serantau Muslim Mohon Maaf
Pengendali akaun sosial Instagram Serantau Muslim memohon maaf atas tindakan memuat naik paparan infografik seolah-olah menghina golongan selebriti.
Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Noor dalam kenyataan di Instagram pada Jumaat membuat permohonan maaf tersebut dan mengakui terlepas pandang ketika proses suntingan poster itu.
"Serantau Muslim memandang serius kes pengeluaran poster yang ada menulis "STOP CARI GLOVE" yang tertera JANGAN IKUT ARTIS yang tidak berpengetahuan (bidang kesihatan) dan tidak bertauliah.
"Poster ini telah menimbulkan reaksi tanda tanya dikalangan artis dengan rasional pengeluaran poster itu sedangkan umum mengetahui Serantau Muslim amatlah menghormati para artis bahkan mempunyai kerjasama yang erat dengan ramai artis.
"Kami menyedari kelemahan kami dalam memetik kenyataan ahli farmasi berdaftar dan berlesan iaitu Nur Syafa Addina yang dipetik dari Facebook Addenaa Dzakwan untuk diposterkan sehingga menimbulkan kekeliruan.
"Dalam masa yang sama, dengan penuh kesedaran, kami bertanggungjawab sepenuhnya atas pengeluaran poster tersebut tanpa menyalahkan mana mana pihak," katanya.
Dalam poster pesanan khidmat masyarakat itu, tertulis amaran untuk orang ramai tidak mengikut cakap artis yang disifatkan tidak berpengetahuan (dalam bidang kesihatan) dan tidak bertauliah.
Perkara itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan selebriti yang menyifatkan tindakan itu tidak profesional.
Faye Kusairi dan Catriona Ross antara selebriti yang memohon penjelasan berhubung perkara itu.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambah Mohd Hakim lagi, pihaknya memandang serius terhadap isu tersebut dan berjanji akan memastikan perkara sama tidak berulang.
"Serantau Muslim amat menyesali kekeliruan dan amat insaf atas kelemahan kami dalam memetik kenyataan individu tertentu untuk diposterkan sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan dan salah faham.
"Serantau Muslim menyambil langkah proaktif dalam hal ini dengan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan berjanji akan memastikan kekeliruan seumpama ini tidak berlaku lagi.
"Fokus utama kita semua rakyat Malaysia termasuklah kami di Serantau Muslim adalah untuk sama sama memastikan tiada lagi penularan wabak covid-19 dan semua pihak berusaha sedaya upaya dengan kapasiti masing masing untuk menyebarkan info bermanfaat kepada orang ramai.
"Sekali lagi, kami dengan penuh rendah hati memohon maaf atas salah faham yang berlaku.
"Semoga Allah menyatukan hati kita semua dalam menghadapi wabak yang menyerang negara kita ini.
"Sesungguhnya kekuatan kasih sayang dan semangat ukhuwwah dikalangan kita dapat meredakan kekhilafan yang berlaku," tambahnya.
Pesanan buat semua, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!