Hiburan
“Jangan Ingat Saya Tak Baca”- Fazziq Muqris Dedah Terima Mesej Lucah Di Media Sosial
Pelakon dan penyampai radio, Fazziq Muqris mengakui menerima banyak mesej lucah di semua aplikasi media sosial.
Terima mesej lucah
Jelas Fazziq atau nama sebenarnya, Muhammad Fazziq Muqris Mohd Shariff, 24, meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila menerima komen serta mesej berbaur lucah, terutamanya apabila ia datang daripada kaum lelaki.
Baginya, dia memahami jika ada individu yang ingin bertanya tips mengenai penjagaan badan, namun kebanyakan mesej yang diterimanya berbaur lucah, membuatkan dia berasa kurang selesa.
“Saya ada juga terima banyak gangguan. Saya sedih sebenarnya. Saya faham je kalau dia minat macam mana saya jaga badan contoh minta tips, diet pemakanan dan sebagainya.
“Saya boleh tolong orang itu. Tapi kalau orang yang komen berbaur lucah itu saya sedikit sedih la sebagai kaum lelaki.
“Saya bukan membenci dengan orang seperti ini tapi janganlah tunjuk perkara itu kepada seseorang sebab bagi saya perangai itu boleh dikawal oleh diri kita sendiri,” katanya kepada Gempak.
Tidak mendedahkan identiti seseorang
Walaupun penyampai radio itu menerima mesej lucah dari orang luar, tetapi Fazziq memilih untuk tidak mendedahkan identiti mereka.
Bagaimanapun, dia turut menasihati golongan tersebut agar berhati-hati dalam tindakan mereka, terutama dalam era digital di mana identiti seseorang mudah dikenalpasti dan didedahkan.
“Jangan ingat saya tak baca komen-komen seperti itu cuma saya tidak mahu mendedahkan siapakah mereka.
“Saya cuma mahu semua orang selamat sahaja sebab zaman sekarang ni orang ramai boleh mendedahkan siapakah diri kita. Jadi, berhati-hatilah tentang perkara tersebut,” jelasnya.
Membawa nama baik keluarga
Pada masa sama, Fazziq turut mengakui dia belum pernah menerima tawaran tidak senonoh, seperti permintaan untuk menghantar gambar lucah.
Sekiranya dia menghadapi situasi sebegitu, dia berusaha untuk mengabaikannya tanpa memberi sebarang respons dan sentiasa mengingatkan dirinya bahawa dia membawa nama baik keluarga, terutamanya ibu dan bapanya.
“Setakat ini saya tak dapat lagi tawaran untuk hantar gambar gambar lucah sebab saya masih ada harga diri.
Sebelum saya bertindak saya akan sentiasa ingat, saya membawa nama baik ibu dan ayah saya.