Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

“Jangan Jadi Hamba Pada Media Sosial” - Ziana Zain Mahu Jaga Eksklusiviti

Azwa Rahman 25/11/2019 | 09:47 MYT
Penyanyi Ziana Zain mengakui memilih untuk jarang memuat naik sebarang aktiviti terkini di akaun media sosial miliknya.

Menurut Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 51, dia tidak mahu mengikut trend semasa dan mahu menjadi eksklusif tanpa perlu selalu tampil di media sosial.

“Bagi saya, kalau awak dah paparkan diri anda setiap hari, pagi dan malam di media sosial, apa rahsia diri awak? Apa lagi yang benda menarik yang tinggal?

“Kalau awak banyak berkongsi pasal anak, keluarga, rumah dan segalanya untuk tatapan umum, sebagai manusia, awak dah tiada apa-apa rahsia. Saya lebih suka menjadi eksklusif,” jelas Ziana kepada Gempak.

Ziana ditemui selepas tamat membuat persembahan KONSERTKOO #withCUCKOO yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada Sabtu.

Tambah pelantun lagu Puncak Kasih itu lagi, dia lebih selesa tidak terlalu menonjolkan perihal peribadi di media sosial

“Biarlah bila ada orang yang tanya, kak Gee kenapa dah seminggu tak update apa-apa di media sosial, biarkan orang bertanya. Lebih baik begitu daripada awak selalu tayangkan diri 24 jam, apa lagi yang baru pada diri awak?

“Buat masa sekarang, hidup kena ada batas. Jangan jadi hamba pada media sosial dan teknologi,” ulasnya lagi.

Pada konsert yang meraikan ulang tahun kelima jenama kelengkapan rumah dari Korea Selatan itu, Ziana membuatkan 15,000 penonton tak berganjak dengan dua lagu popularnya, Puncak Kasih dan Ada Cinta.

#Selebriti #Media Sosial #Teknologi
;