Laman Utama
“Jangan Pacak Tripod Rakam Tengah Sembahyang” - Zul Ariffin Akui Kini Ramai Penunggang Agama
Filem seram thriller Penunggang Agama terbitan Astro Shaw dan Skop Productions kembali dengan sekuel bermula 19 Oktober ini.
Menurut pelakon utamanya Zul Ariffin, golongan seperti ini mudah ditemui dan sering menggunakan agama bagi kepentingan sendiri.
“Saya rasa ramai orang akan berjumpa penunggang agama sekurang-kurangnya sekali seminggu. Apa yang boleh saya cakap juga, orang bukan Islam, mereka tak baca al-Quran, sebaliknya mereka baca perangai kita.
“Jadi, tunjukkanlah teladan yang baik. Jangan bersikap hipokrit. Pacak 'tripod' rakam tengah sembahyang, itu bukan saya. Senang cerita, jangan pergunakan agama untuk kepentingan sendiri," jelasnya.
Zul ditemui ketika sesi temubual secara maya bersama pengarah filem Penunggang Agama 2, Shafiq Yusof pada Rabu.
Tidak hanya itu, Zul yang dilihat banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berdakwah bersama Ebit Lew menjelaskan dia tidak pernah bertanya mengenai situasi menimpa penceramah bebas itu.
“Saya tak pernah tanya atau persoalkan. Saya cuma cakap dapatkan rehat secukupnya. Dia sedang diuji. Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku.
"Malah, pertemuan saya dan dia diisi dengan persalaman, berborak, berkongsi ilmu, solat jemaah dan saya dengar apa yang dia nak cakap. Apa yang saya tahu, dia memberi layanan yang baik terhadap saya dan orang yang dia temui. Perkara lain, saya tak ambil tahu," ujarnya lagi.
Selain Zul yang memegang watak sebagai Amir, filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Azira Shafinaz (Anna), Tony Eusoff (Father Michael), Salina Saibi (Huda), Johan As’ari (Hafiz), Dato’ Rahim Razali (Datuk Fawwas), Anna Jobling (Anak Datuk Fawwas), Puteri Nurqaseh (Sarah), Burhan Sidqi (Bakhtiar) dan Sharifah Aisyarha (Anim).
Penunggang Agama 2 mengisahkan rentetan Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama.
Sementara itu, Amir mula obses dengan kerja sampingannya, iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan yang diterima.
Kehebatan Amir dalam menyembuhkan pesakitnya juga turut tular di media sosial dan itu membuatkan dia semakin selesa dengan gelaran Ustaz.
Kehadiran seorang paderi bernama Father Michael telah mencabar ego dan kredibiliti Amir.
Saksikan filem Penunggang Agama 2 yang akan berada di Astro First bermula 19 Oktober 2021.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.
Selain itu, bagi mereka yang ingin menonton Penunggang Agama 1, boleh juga melanggan dua koleksi filem tersebut di Astro First secara kombo (Penunggang Agama 1 dan Penunggang Agama 2) dengan satu harga istimewa RM19.90.