Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Jangan Tipu Kalau Kamu Sudah Bercerai Atau Ini Bukan Isteri Pertama” - Chef Wan Balas Kenyataan Suami Serina

Hanafis Haris 13/04/2021 | 05:44 MYT

Selebriti cef terkenal, Datuk Redzuwan atau lebih dikenali dengan panggilan Chef Wan tampil memberi reaksi susulan kenyataan dibuat oleh suami kepada anaknya Serina.

Menurut Chef Wan, dia telah memberi nasihat terlebih awal supaya tidak ‘bermain api’ sebelum perkara ini berlaku.

“Akhirnya si suami buka mulut dan beritahu hal sebenar.

“Sebab itulah saya cakap jangan bermain api di rumah saya. Saya akan dapat tahu juga lebih laju dari awak sangka.

“Jangan tipu kalau kamu sudah bercerai atau ini bukan isteri pertama kamu

“Jika kamu sudah tidak bahagia dan tiba masa untuk move on, saya faham,” katanya.

Jelasnya, dia tidak mahu bersangka buruk seperti mana orang di luar sana.

“Contoh adalah netizen yang maki hamun saya macam-macam. Dah tahu hal sebenar, sendiri dapat malu.

“Tak kena batang hidung anak masing-masing senang la cakap.

“Itu sebab Allah suruh jadi bapa dan ibu kena bertanggung jawab pasal anak kita. Biar pun buat silap tetap kita mengaku silap,” katanya.

Chef Wan berkata demikian susulan kenyataan suami kepada Serina iaitu Aidid yang mengakui berkahwin dengan aktres tersebut ketika masih bergelar suami orang.

Walaubagaimanapun Aidid menafikan dakwaan bahawa Serina menjadi punca perceraiannya dengan bekas isteri Nur Hamizah Shaffee, 34.

Sebaliknya, kata Aidid hubungan perkahwinan yang dibina dengan wanita itu sudah lama retak menunggu belah dan dia juga sudah tawar hati dengan bekas isterinya itu.

Terdahulu, Chef Wan meluahkan rasa kecewa apabila hanya mendapat tahu mengenai pengumuman pernikahan anaknya, Serina daripada kakaknya.

Chef Wan juga mendedahkan pasangan itu bernikah di Thailand.

Walaubagaimanapun, Serina kemudian menafikan mereka bernikah di Thailand, sebaliknya ia dijalankan di Perlis.

Dia turut menafikan Aidid berstatus suami orang sebaliknya adalah seorang duda.

Sekadar info, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010.

Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.

#Viral #Serina #ChefWan #Aidid #Hamizah
;