Hiburan
Jangkaan Meleset! Ubat Malaria Sekali Lagi Gagal Ujian Rawatan COVID-19
Ubat malaria yang sering didakwa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai rawatan COVID-19 sekali lagi gagal menunjukkan manfaat kepada pesakit positif virus itu.
Menerusi laporan Astro Awani, walaupun wujud kekangan dalam kajian yang diterbitkan New England Journal of Medicine itu, namun doktor dan pengkaji melaporkan penggunaan hydroxychloroquine tidak akan mengurangkan risiko kematian atau keperluan bantuan pernafasan dalam kalangan pesakit COVID-19.
“Kami tidak lihat sebarang kaitan antara ubat ini dan kurangnya risiko kematian atau masalah pernafasan.
“Pesakit yang menggunakan ubat itu juga tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan,” kata ketua pengkaji Dr Neil Schluger kepada Reuters.
Difahamkan, dalam kalangan pesakit yang menggunakan hydroxychloroquine, 32.3 peratus akhirnya masih memerlukan ventilator ataupun telah meninggal dunia, berbanding 14.9 peratus yang tidak menggunakannya.
Namun, mereka rumuskan bahawa ubat itu mungkin tidak mendatangkan risiko kepada pesakit, namun ia juga tidak membantu merawat COVID-19.
Kajian itu membabitkan 811 pesakit yang menerima rawatan hydroxychloroquine manakala 565 yang lain tidak menggunakan ubat itu.
Hydroxychloroquine yang telah wujud sejak berdekad lalu juga digunakan untuk rawatan lupus dan arhthritis rheumatoid.
Pada April, doktor di Jabatan Hal Ehwal Veteran Amerika Syarikat melaporkan bahawa ubat itu tidak membantu pesakit COVID-19 dan mungkin meningkatkan risiko kematian.
Sumber: Astro Awani, Reuters