Hiburan
"Janji Bayar 20 Ribu Siap Promosi, Tapi Akhirnya Lesap!” – Irene Catalina Ditipu Individu Dikenali Dalam Industri
Penyanyi Irene Catalina mengakui ditipu seorang individu tahun lalu yang kononnya berjajji mahu membantunya dalam industri nyanyian.
Irene, 38, berkata, individu tersebut datang kepadanya dan menawarkan diri untuk membantu menjalankan kerja-kerja promosi dengan bayaran sebanyak RM20,000.
Bagaimanapun selepas bayaran dibuat tiada sebarang promosi dijalankan sebaliknya individu tersebut hanya mendiamkan diri dan ‘lesap’ tanpa sebarang jejak.
“Saya percayakan dia kerana individu tersebut agak dikenali dalam industri hiburan. Tidak sangka pula dia hilang macam tu saja...Dia turut menyahaktifkan akaun media sosialnya dan gagal dihubungi.
“Tak apalah, mungkin bukan rezeki saya,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Irene, dia menganggap perkara tersebut sebagai asam garam bergelar anak seni dan tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk menjadi penyanyi.
“Walaupun pernah ditipu saya tidak akan patah semangat kerana menyanyi adalah jiwa saya. Sebab itu saya kembali dengan single berjudul Ajari Aku, pada hari ini.
“Kali ini saya serius untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini kerana sebelum ini saya terlalu sibuk dengan keluarga dan perniagaan sehingga terpaksa ‘melupakan’ bidang nyanyian seketika,” katanya yang pernah aktif bersama kumpulan Angles sekitar 2005.
Bercakap mengenai single terbaharunya, Irene berkata Ajari Aku merupakan lagu ciptaan DJ Fuzz dan telah digunakan sebagai runut bunyi dalam drama Encik Suami Mat Salih Celup di slot Dahlia, TV 3.
“Ajari Aku merupakan lagu rancak dan saya harap ia dapat diterima peminat. Tambahan lagi, saya percaya lagu-lagu catcy sering mendapat tempat di hati pendengar,” ujarnya.
Irene ditemui ketika Majlis Pelancaran Single Ajari Aku dan Mini Showcase Irene Catalina di Comedy Planet, Great Eastern Mall baru-baru ini.
Pada mini showcase tersebut, Irene telah menyanyikan lapan buah lagu kegemarannya, dan ternyata vokalnya versatile dan mampu untuk menyampaikan lagu dengan genre berbeza dengan baik.