Hiburan
“Jantung Saya Berhenti Berfungsi”- Phua Chu Kang Kongsi Detik Cemas Hampir Mati
Pelawak terkenal, Gurmit Singh atau lebih dikenali sebagai Phua Chu Kang mendedahkan dirinya punyai masalah kesihatan yang serius suatu ketika dahulu.
Jelas Gurmit atau nama sebenarnya Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, 59, badan dan otaknya pernah tiba-tiba berhenti berfungsi seketika.
“Saya masih ingat pada tahun 2017, otak saya tiba-tiba berhenti berfungsi. Ketika itu, isteri saya menelefon untuk bertanya di mana saya berada, dan saya hanya menjawab, ‘Saya tidak pasti di mana saya berada’
“Saya terus memberitahu dia tentang tempat di sekitar saya dan pada masa itu saya sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada saya," katanya ketika ditemui di sidang media Phua Chu Kang: The Greatest Show Man pada Rabu.
Jantung berhenti
Cemas dengan keadaan yang berlaku, Gurmit dan isteri bergegas mendapatkan rawatan pakar untuk mengenal pasti penyakit yang dihidapi.
“Saya segera berjumpa dengan doktor pakar jantung, dan mereka memeriksa keadaan saya dengan meminta saya untuk menghadap dinding selama tiga minit sambil diikat diatas katil.
“Selepas tiga minit, badan saya menjadi lemah, dan mereka memberi ubat untuk mempercepatkan degupan jantung, menyebabkan saya pengsan.
“Selepas sedar, doktor memberitahu saya bahawa jantung saya berhenti berfungsi selama lebih 30 saat, dan mereka terus melakukan rawatan CPR kepada saya. Saya terkejut mendengar berita itu, dan pada masa itu, doktor masih tidak dapat mengenal pasti penyakit saya," jelasnya.
Syukur masih hidup
Ekoran kejadian itu, Gurmit sering dihantui perasaan risau dan takut biarpun tahu tidak menghidap penyakit yang berbahaya.
“Sebelum COVID, saya ada satu persembahan komedi di Kuala Lumpur. Sepatutnya, persembahan itu berlangsung selama 45 minit, tetapi saya mengambil masa selama tiga jam untuk habiskan kerana sebelum memulakan persembahan, saya terfikir mungkin ini adalah persembahan terakhir saya.
“Jadi, saya bertanyakan kepada penonton boleh ke saya lanjutkan persembahan komedi ini lagi dan penonton bersetuju untuk melanjutkan persembahan saya.
“Setiap hari saya bangun dari tidur, saya rasa bersyukur saya masih hidup dan saya akan lakukan yang terbaik untuk diri sendiri”, kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Gurmit Singh bakal membuat persembahan komedinya, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober ini. Turut digandingkan bersama, dua penghibur dari Malaysia, Russell Curtis dan Rizal Van Geyzel.