Laman Utama
Jari Kiri Hampir Putus, Anding Tak Serik Nak Berlakon – “Semuanya Berbaloi Dengan Pengiktirafan Ini”
Penyanyi dan pelakon, Anding Indrawani baru-baru ini mendedahkan cabaran yang dilaluinya sepanjang melakonkan watak pahlawan Iban bernama Anang menerusi filem Headhunter.
Anding yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) baru-baru ini berkata banyak yang dilaluinya termasuk hampir putus jari kiri ketika penggambaran.
Menurut Anding, kecederaan tersebut dialaminya ketika hari pertama memasuki set, gara-gara parang yang dibawa Anang.
“Baru hari pertama saya masuk ke set, saya hampir hilang jari kiri. Saya menerima 12 jahitan akibat kecederaan tersebut.
“Kecederaan tersebut disebabkan sebilah parang yang dibawa Anang. Dan menerusi filem itu parang dibawa Anang iaitu Ilang memiliki kuasa sakti.
“Anang seorang pahlawan Iban dan Ilang merupakan senjata utamanya. Walaupun jari saya tercedera, saya teruskan bekerja walaupun doktor melarang,” kata Anding.
Selain itu, bertutur dalam bahasa Iban juga antara cabaran dihadapi Anding.
“Dialek Iban bukan bahasa ibunda saya kerana saya berketurunan Bidayuh dan Melanau. Tapi saya sahut juga cabaran tersebut kerana bagi saya, seorang anak seni perlu menyahut apa jua rintangan yang datang di hadapannya.
“Saya juga diarah untuk memotong rambut demi memenuhi tuntutan watak. Bagi saya semua ini pengalaman yang paling berharga buat saya.
“Dan selepas 17 tahun berada dalam industri ini, akhirnya saya menggenggam trofi ini. Ia satu pencapaian membanggakan buat saya.
“Segala pengorbanan saya berbaloi,” katanya terharu.
Anding mula aktif di dalam industri seni selepas bergelar alumni bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2) pada 2004.
“Tak mengapa jika lambat mengecap populariti, pelan-pelan kayuh dan dapat menikmati kemanisannya di kemudian hari itu lebih bermakna.
“Prinsip saya mudah, sekali melangkah masuk ke gerbang seni, maka selama-lamanya akan digelar anak seni.
“Dulu saya pernah cuba menukar kerjaya, tetapi tetap juga akan kembali ke kancah ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anding kini terlibat dengan pementasan teater Puteri Santubong yang dipersembahkan negeri kelahirannya.
Menerusi naskhah tersebut, dia berlakon di sisi aktres ternama, Maya Karin yang memegang watak utama sebagai Puteri Santubong.